KENYATAAN DIPUTAR BELIT: SANUSI HANTAR TIGA LAGI LOD, MENTERI ANTARA PENERIMA
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan tiga lagi individu menerima surat tuntutan (Letter of Demand, LOD) susulan dakwaan memutar belit kenyataannya ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, LOD berkenaan diserahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta seorang penulis blog, Salim Abd. Rahman, pada hari ini.
Manakala seorang lagi individu, Marina Ibrahim, dijadual menerima LOD berkenaan esok.
"Saya hantar LOD kepada Nga Kor Ming hari ini. Salim Abd. Rahman serahan hari ini, dia ini banyak tokok tambah. Marina pula akan diserahkan esok.
"LOD ini akan diuruskan oleh peguam. Kalau tak sempat serah hari ini, akan diserahkan esok. Setakat ini terbaharu tiga orang," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.
Sanusi berkata, setiap penerima diberikan tempoh tujuh hari untuk memohon maaf selepas menerima LOD, sebelum tindakan undang-undang diteruskan sekiranya gagal berbuat demikian.
"Selepas mereka terima LOD, kita tuntut dalam tempoh tujuh hari supaya mereka memohon maaf. Jika tidak berbuat demikian, kita teruskan dengan tindakan perundangan seterusnya. Siap duitlah," katanya.
Menurut beliau, senarai individu yang bakal menerima LOD masih panjang kerana terdapat ramai pihak memesongkan fakta, menokok tambah serta memutar belit kenyataannya sehingga mengaut keuntungan politik dan perhatian.
"Saya serahkan kepada peguam. Ada senarai mereka yang panjang, terdiri daripada mereka yang memesongkan fakta, tokok tambah dan memutar belit kenyataan saya.
"Setiap LOD tidak sama kerana kandungan kenyataan yang dibuat oleh setiap individu berbeza. Kebanyakannya menuduh saya mengucapkan perkataan 'balik', sedangkan itu bukan apa yang saya katakan," ujarnya.
Sanusi tegaskan, pasukan peguamnya sedang menguruskan penyerahan LOD kepada individu terbabit dan tindakan itu bertujuan mempertahankan reputasinya daripada dakwaan yang disifatkan sebagai fitnah.
Pada 1 Ogos, Sanusi memaklumkan lebih ramai individu bakal menerima LOD selepas didakwa menokok tambah, memesongkan fakta serta mengulas ucapannya di luar konteks sebenar ketika berkempen di Negeri Sembilan.
Individu terawal menerima LOD ialah Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan.
Menerusi surat tuntutan yang dikeluarkan firma guaman Faizi & Associates bertarikh 27 Julai, Muhammad Sanusi mendakwa Dr. Sathia memfitnah beliau melalui kenyataan media dan video yang dimuat naik di akaun TikTok berhubung ucapannya di Negeri Sembilan.
Menurut surat itu, Dr. Sathia didakwa secara tidak tepat mengaitkan Sanusi dengan kenyataan "India baliklah India" dan "Cina baliklah China", sedangkan frasa tersebut tidak pernah diucapkan olehnya.
Dalam ceramah kempen di Jempol sebelum ini, Sanusi dilaporkan berkata, "Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India. Orang Cina ada China. Orang Kemboja ada Kemboja. Orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja."
Petikan ucapan itu kemudian mencetuskan kontroversi apabila disalah tafsir dan ditokok tambah oleh pihak tertentu sehingga membawa maksud di luar konteks asal.
Post a Comment