DESA SEJAHTERA YANG PERTAMA DI KEDAH SIAP DIBINA
“KAMPUNG PERIK RINTIS KERJASAMA BINA RUMAH RAKYAT MISKIN”
Roslinda Hashim
PADANG TERAP - Projek Desa Sejahtera di Kampung Perik merupakan projek pertama yang siap dibina oleh Kerajaan Negeri dengan menyediakan tapak rumah kepada rakyat miskin yang layak.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, konsep asal Desa Sejahtera adalah menyediakan lot tanah serta infrastruktur asas, manakala penerima membina rumah mengikut reka bentuk dan kemampuan masing-masing.
Menurutnya, enam keluarga kurang berkemampuan yang menerima rumah di bawah projek Desa Sejahtera Kampung Perik, turut menerima manfaat tambahan apabila kediaman mereka dibiayai Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi wakalah zakat.
“Ini adalah Desa Sejahtera yang pertama di Kedah yang telah siap. Istimewanya projek pertama ini TNB membantu membina rumah melalui wakalah zakat.
“Jadi, bertuah penerima kerana mendapat rumah percuma, selain tapak disediakan Kerajaan Negeri. Itu rezeki dan bukan semua penerima kelak mendapat manfaat seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Hakmilik (Geran) dan Kunci Rumah Desa Sejahtera, Kampung Perik, Mukim Kurong Hitam di sini, hari ini.
Sanusi berkata, Kerajaan Negeri turut mempelawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta, korporat, dermawan dan hartawan untuk bekerjasama membiayai pembinaan rumah bagi golongan yang benar-benar memerlukan.
Katanya, pendekatan itu membolehkan kerajaan menyediakan tanah dan kemudahan asas, manakala pihak yang bersedia bekerjasama membantu membiayai pembinaan rumah.
“Kerajaan cuba cari jalan tengah dengan menyediakan tanah dan kita cari pihak yang sudi bekerjasama dengan kerajaan untuk membina atau membiayai kos membina rumah untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.
“Kita tidak mahu mereka yang tidak berkemampuan terpaksa menjalani kehidupan dalam keadaan tidak menentu dan tidak mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.
Menurutnya, selain TNB, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan beberapa agensi lain turut menyatakan hasrat untuk terlibat dalam program berkenaan, sekali gus membuka kemungkinan kerjasama seumpama itu diteruskan di daerah lain.
Beliau berkata, selepas Kampung Perik, program Desa Sejahtera akan diteruskan di Sik dan Baling.
“Di tempat lain kita sediakan tapak, buat infrastruktur asas termasuk jalan masuk, parit dan longkang, bekalan elektrik serta air. Penerima boleh bina rumah sendiri ikut kehendak masing-masing.
“Kita akan buat tapisan sebaik-baiknya supaya hanya mereka yang benar-benar layak dipilih,” katanya.
Sanusi berkata, projek Desa Sejahtera Kampung Perik membabitkan penyediaan 100 lot tanah dengan setiap lot berkeluasan 3,600 kaki persegi, dengan enam unit rumah siap diserahkan kepada penerima.
Beliau berkata, usaha berkenaan bukan sekadar menyediakan rumah dan tanah, malah memberikan aset yang boleh dipusakakan kepada keluarga penerima.
Dalam ucapannya sebelum itu, Sanusi memaklumkan, majlis pecah tanah Desa Sejahtera di tapak berkenaan dilakukan pada 20 November 2024 sebagai usaha membantu rakyat yang tidak berkemampuan memiliki rumah sendiri.
Katanya, penyediaan kediaman yang selesa penting bagi memastikan sesebuah keluarga dapat membina kehidupan yang lebih baik, selain menjadi tempat anak-anak berkumpul dan menjaga ibu bapa apabila mereka meningkat usia.
“Membina bangunan pencakar langit bukanlah keutamaan kita di Kedah sebagai petunjuk kemajuan pembangunan, sebaliknya keutamaan adalah menyelesaikan isu asas seperti pemilikan rumah.
“Apa yang diperlukan di Kedah ialah rumah sebagai tempat tinggal untuk semua orang. Kita seboleh-bolehnya mahu semua ketua keluarga memiliki rumah sendiri.
“Pada masa ini harga rumah sangat tinggi. Bukan semua orang mampu beli atau memiliki rumah sendiri. Atas sebab itu, kita berasa perlu membantu rakyat yang tidak berkemampuan memiliki rumah di atas tanah mereka sendiri,” katanya.
Tambah beliau, tanpa rumah yang selesa, proses pembentukan keluarga akan terjejas dan akan mencetuskan pelbagai masalah seperti keciciran ekonomi dan pendidikan, gejala sosial, jenayah, kemusnahan institusi keluarga yang akhirnya membawa kepada keruntuhan masyarakat.
“Inilah perkara yang sedaya upaya akan kita tangani dan elakkan. Dengan usaha ini, kerajaan bukan sekadar menyediakan rumah dan tanah tetapi memberikan mereka harta yang boleh dipusakakan,” katanya.
Pada majlis sama, sebanyak 20 geran hakmilik tanah dan 21 Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi daerah Padang Terap turut diserahkan.
Sanusi turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Padang Terap, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG), LZNK, TNB serta semua agensi terlibat dalam merealisasikan projek berkenaan.
Post a Comment