Header Ads

test

FERROTEC BUKA KILANG KEDUA, TAMBAH PELABURAN RM1 BILION

TAWAR LEBIH 1,000 PELUANG KERJA BERKEMAHIRAN TINGGI
Roslinda Hashim
KULIM - Ferrotec Manufacturing Malaysia mengembangkan operasinya menerusi pelaburan tambahan sebanyak RM1 bilion di Kedah, menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan syarikat itu mencecah RM1.9 bilion.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pengembangan menerusi pembukaan kilang kedua Ferrotec di Padang Meha itu dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Kedah.
Menurutnya, pelaburan berterusan itu membuktikan keyakinan Ferrotec terhadap potensi Kedah sebagai destinasi industri pembuatan termaju, khususnya dalam ekosistem semikonduktor.
“Pembukaan kilang kedua bukan sahaja menambah kapasiti pembuatan, malah membawa teknologi baharu, kemahiran baharu dan peluang baharu kepada rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan kilang kedua Ferrotec Manufacturing Malaysia di Padang Meha, di sini, hari ini.
Sanusi berkata, kilang pertama Ferrotec yang mula beroperasi di Kulim pada Januari 2024 dengan pelaburan awal melebihi RM900 juta telah berkembang menjadi pangkalan pengeluaran penting yang membekalkan produk kepada pengeluar peralatan semikonduktor terkemuka dunia.
Beliau berkata, operasi kilang pertama itu turut mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus membuka ruang kepada rakyat tempatan untuk menyertai sektor pembuatan termaju.
“Pembukaan kilang kedua itu dijangka memperluaskan peluang kerjaya lebih ramai jurutera, juruteknik, pakar pengeluaran dan tenaga profesional berkemahiran lain untuk bekerja dalam persekitaran industri berteknologi tinggi.
“Bagi golongan muda di Kedah, perkembangan ini amat bermakna kerana membuka peluang kepada mereka untuk bekerja dengan teknologi canggih, membangunkan kemahiran teknikal yang bernilai serta mendapat pendedahan kepada piawaian industri global.
“Kita mahu golongan muda Kedah melihat bahawa kerjaya dalam bidang pembuatan termaju, kejuruteraan dan teknologi boleh dibina di negeri ini,” katanya.
Menurut Sanusi, pelaburan Ferrotec turut menyumbang kepada usaha Kedah memperkukuh kedudukan dalam rantaian bekalan global menerusi penghasilan produk bernilai tinggi dan penggunaan teknologi lebih canggih.
“Atas sebab itu, kami melihat Ferrotec bukan sekadar sebagai pelabur di Kedah, tetapi juga sebagai rakan penting dalam pembangunan perindustrian negeri.
“Pengembangan operasi Ferrotec secara berterusan merupakan contoh yang baik bagi kerjasama jangka panjang seperti yang ingin kita bina di negeri ini,” katanya.
Tambah beliau, daya saing industri ketika ini bukan sahaja bergantung pada kemudahan infrastruktur, malah turut ditentukan oleh ketepatan pengeluaran, kepakaran kejuruteraan, produktiviti serta keupayaan memenuhi piawaian global secara konsisten.
“Aspek ini amat penting khususnya dalam industri semikonduktor. inilah hala tuju yang ingin kita capai dalam pembangunan sektor perindustrian, ke arah penghasilan produk bernilai lebih tinggi, kecanggihan teknologi serta penyertaan lebih kukuh dalam rantaian bekalan global,” katanya.
Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri komited untuk terus menjadi rakan kerjasama industri dengan menyediakan persekitaran yang menyokong pertumbuhan pelaburan dan pembangunan jangka panjang.
“Kami mahu Ferrotec terus berkembang bersama-sama Kedah. Ferrotec membawa pelaburan, teknologi, kepakaran dan jaringan pasaran global, manakala Kedah komited menyediakan persekitaran yang menyokong pelaburan, pertumbuhan industri dan kerjasama jangka panjang,” katanya.
Sanusi berharap pembukaan kilang kedua itu mencapai piawaian kecemerlangan operasi tertinggi serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan Ferrotec di Kedah, selain memperkukuh pembangunan industri pembuatan termaju negara.
“Semoga kerjasama Ferrotec dan Kedah terus diperkukuh berlandaskan kepercayaan bersama, peluang yang dikongsi serta komitmen terhadap kemajuan,” katanya.

Tiada ulasan