Header Ads

test

SG4 SASAR KDNK RM723.75 BILION MENJELANG 2050

 

“PELAWA PELABUR JALIN KERJASAMA STRATEGIK DI TAMAN INDUSTRI SG4”
Roslinda Hashim
KUALA LUMPUR - Empat negeri di bawah kerjasama SG4, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis berpotensi meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan kepada RM723.75 bilion menjelang 2050 berdasarkan senario pertumbuhan tahunan tujuh peratus.
Pengerusi SG4 Group Sdn. Bhd., Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, unjuran itu menunjukkan potensi ekonomi berkembang lebih lima kali ganda berbanding nilai asas KDNK sebanyak RM133.35 bilion pada 2025.
Menurutnya, sasaran tersebut memerlukan pelaburan berterusan, peningkatan produktiviti, penerapan teknologi serta pelaksanaan strategi pembangunan yang berkesan dalam tempoh panjang.
“Berdasarkan senario pertumbuhan tujuh peratus setahun, KDNK gabungan SG4 berpotensi meningkat kepada RM723.75 bilion menjelang 2050, dengan tambahan output tahunan RM590.40 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada SG4 Business & Economic Forum 2026 bertemakan ‘Four States, One Economic Vision’, hari ini.
Haim Hilman berkata, berdasarkan unjuran sama, nilai tambah tahunan sektor perkhidmatan berpotensi mencecah RM429.51 bilion, manakala sektor pembuatan boleh berkembang kepada RM180.88 bilion.
“Sektor pertanian berpotensi menyumbang RM86.64 bilion, pembinaan RM18.73 bilion, manakala perlombongan dan pengkuarian RM4.59 bilion,” katanya.
Menurut beliau, empat negeri SG4 merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM220.43 bilion bagi tempoh 2020 hingga 2025, termasuk RM198.37 bilion dalam sektor pembuatan, yang berpotensi mewujudkan 76,306 peluang pekerjaan.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan minat pelabur terhadap rantau berkenaan, dan keutamaan kini adalah memastikan pelaburan diluluskan diterjemahkan kepada operasi perniagaan yang berjaya, perusahaan produktif dan peluang kerjaya berkualiti.
“SG4 mempunyai asas ekonomi kukuh dan ruang yang luas untuk terus berkembang. Tanggungjawab kita adalah terjemahkan minat pelabur kepada aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Kekuatan sektor pembuatan di empat negeri itu merangkumi industri elektrik dan elektronik (E&E), automotif, pembuatan termaju, tenaga boleh baharu, bahan kimia serta bahan khusus, selain peluang dalam pertanian, logistik, pelancongan, hospitaliti dan ekonomi kreatif,” katanya.
Haim Hilman berkata, SG4 mempunyai beberapa taman perindustrian utama untuk ditawarkan kepada pelabur bagi menjalin kerjasama strategik.
“Kedah mempunyai lima kawasan perindustrian, Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kulim Industrial Corridor, Gurun Industrial Park, Kedah Rubber City, Delapan dan KSTP SBEZ. Di Terengganu, kawasan tersedia termasuk Kerteh Biopolymers Park, Teluk Kalong Industrial Estate, Gong Medang Industrial Estate.
“Di Kelantan, terdapat Tok Bali Industrial Park dan Pasir Mas Halal Park Industrial Area. Sementara Perlis, terdapat Kawasan Perindustrian Lembah Chuping,” ujarnya.
Tambah beliau, pembangunan infrastruktur pengangkutan dan logistik menjadi antara keutamaan bagi menghubungkan kawasan perindustrian dengan pintu masuk maritim dan penerbangan, sekali gus melancarkan pergerakan barangan serta meluaskan akses pasaran.
“Antara cadangan diketengahkan, pembinaan laluan dua hala berkembar Timur-Barat menghubungkan KHTP dengan Pelabuhan Tok Bali, melalui Kulim, Baling, Gerik, Jeli dan Pasir Puteh.
“Laluan itu dicadangkan bagi memperkukuh hubungan antara keupayaan pembuatan di pantai barat dengan peluang ekonomi di pantai timur,” katanya.
Selain itu, cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah berpotensi menjadi pintu masuk eksport bernilai tinggi, khususnya semikonduktor dan produk E&E, manakala peluasan Pelabuhan Kemaman di Terengganu serta pembangunan Pelabuhan Tok Bali di Kelantan turut berpotensi meningkatkan kapasiti perdagangan dan logistik.
“Cadangan pembinaan pelabuhan di Sanglang, Jerlun pula dilihat berpotensi memperluas akses Kedah ke pasaran antarabangsa dan mengukuhkan rangkaian perdagangan di utara,” katanya.
Haim Hilman berkata, pembangunan ekonomi serantau juga perlu disokong tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri.
“Empat negeri ini melahirkan 131,600 graduan bagi tempoh 2021 hingga 2024, sekali gus menyediakan kumpulan tenaga berbakat untuk menyokong perkembangan industri dan perniagaan.
“Usaha ini memerlukan integrasi erat antara pendidikan, penyelidikan dan perusahaan, dengan sokongan latihan praktikal, kepakaran teknikal serta pembangunan kemahiran secara berterusan,” katanya.
Tambah beliau, setiap negeri mempunyai keupayaan tersendiri dan saling melengkapi menerusi kerjasama erat, pengukuhan rantaian bekalan dan kewujudan nilai tambah yang lebih besar.
Sehubungan itu, beliau mengajak pelabur, pemimpin industri dan rakan strategik meneroka peluang di keempat-empat negeri serta membina kerjasama jangka panjang bagi merealisasikan potensi ekonomi SG4.
“Jadikan forum ini platform kerjasama praktikal, iaitu perbincangan yang membawa kepada perkongsian strategik, pelaburan baharu dan mewujudkan kemakmuran bersama. Bersama kita merealisasikan potensi SG4 dan memacu era pertumbuhan Malaysia.
“Masih banyak potensi belum diterokai. Gunakan kesempatan ini hubungkan pelabur dengan agensi-agensi negeri supaya dapat wujudkan kerjasama strategik,” katanya.

Tiada ulasan