TIGA LRA BERNILAI RM639.7 JUTA SELESAI NAIK TARAF, BEKALKAN 598 MLD
MENYUMBANG 84.5 PERATUS KAPASITI KESELURUHAN LIMA LRA
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Tiga daripada lima projek Loji Rawatan Air (LRA) utama Kedah bernilai keseluruhan RM639.7 juta yang membekalkan 598 juta liter sehari (MLD) atau menyumbang 84.5 peratus kapasiti keseluruhan kini sudah siap atau berada di penghujung penyempurnaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato’ Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, tiga projek berkenaan ialah LRA Pelubang, Jenun Baru dan Lubuk Buntar Lama.
Menurutnya, LRA Pelubang kini mencapai 94.14 peratus kemajuan, Jenun Baru 99.7 peratus, manakala Lubuk Buntar Lama telah siap sepenuhnya.
“Daripada keseluruhan kapasiti akhir lima LRA utama Kedah yang merangkumi 708 MLD, tiga projek ini sahaja menyumbang 598 MLD atau 84.5 peratus.
“Angka ini menunjukkan lebih empat perlima daripada keseluruhan kapasiti lima projek datangnya daripada tiga LRA yang kini telah siap atau hampir disiapkan,” katanya.
Mohamad Yusoff berkata, LRA Pelubang merupakan projek terbesar bernilai RM431 juta dengan kapasiti akhir 454 MLD selepas dinaik taraf daripada 227 MLD.
“Pelubang sahaja menyumbang kira-kira 64.1 peratus daripada keseluruhan kapasiti lima projek, sekali gus menjadi komponen terbesar (hampir dua pertiga) dalam usaha memperkukuh bekalan air terawat terutama di Kota Setar dan Kubang Pasu.
“Projek ini kini mencapai 94.14 peratus dan dilaksanakan oleh BDB Synergy Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Bina Darulaman Berhad (BDB),” katanya.
Sementara itu, katanya, LRA Jenun Baru yang bernilai RM156.8 juta kini mencapai 99.7 peratus, dengan kapasiti ditingkatkan daripada 55 MLD kepada 110 MLD.
“Peningkatan itu bermakna kapasiti loji digandakan sepenuhnya, dengan tambahan 55 juta liter air sehari.
“Projek dilaksanakan Menta Construction Sdn. Bhd. Ini telah memasuki operasi meskipun kerja fizikal keseluruhan menunjukkan hanya sebahagian kecil baki kerja diperlukan sebelum siap sepenuhnya.
“Jenun Baru menyumbang sekitar 15.5 peratus daripada keseluruhan kapasiti lima LRA,” katanya.
Tambah beliau lagi, LRA Lubuk Buntar Lama pula telah siap 100 peratus dengan nilai projek RM51.9 juta dan kapasiti 34 MLD.
“Projek ini dilaksanakan oleh United AAD Sdn. Bhd. dan apabila digabungkan dengan LRA Lubuk Buntar Baru berkapasiti 25 MLD, kapasiti kedua-dua loji di Lubuk Buntar kini mencecah 59 MLD.
“Kapasiti 34 MLD ini bersamaan 4.8 peratus daripada keseluruhan lima LRA,” katanya.
Menurut Mohamad Yusoff, dua lagi projek iaitu LRA Bukit Selambau dan Sungai Limau masih memerlukan perhatian selepas kontrak asal kedua-duanya ditamatkan.
Katanya, Bukit Selambau mempunyai kapasiti akhir 70 MLD, manakala Sungai Limau 40 MLD, menjadikan keseluruhan baki kapasiti yang perlu diselesaikan sebanyak 110 MLD atau 15.5 peratus daripada kapasiti lima LRA.
“Bukit Selambau mewakili 9.9 peratus daripada 708 MLD (lima LRA) dengan nilai kontrak asal sekitar RM129.4 juta, manakala Sungai Limau (5.6 peratus) bernilai RM89.8 juta dan kedua-duanya dilaksanakan oleh kontraktor asal yang sama, Widad Builders Sdn. Bhd.
“Perkara paling penting selepas penamatan kontrak ialah memastikan proses pemulihan dan kesinambungan pelaksanaan dapat dilakukan supaya baki kapasiti yang dirancang benar-benar dapat diwujudkan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Yusoff menegaskan, adalah tidak tepat untuk menggambarkan seolah-olah Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara peribadi memilih semua kontraktor bagi projek LRA berkenaan, seperti yang ditularkan.
Katanya, empat projek iaitu Jenun Baru, Bukit Selambau, Sungai Limau dan Lubuk Buntar Lama telah melalui mekanisme tender Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala Pelubang menggunakan mekanisme berbeza.
“Pemilihan dan penganugerahan kontrak dilaksanakan melalui struktur perolehan kerajaan dan JKR mengikut prosedur serta mekanisme masing-masing. Hanya Pelubang dianugerahkan kepada BDB Synergy Sdn Bhd,” katanya.
Mohamad Yusoff berkata, isu bekalan air Kedah sudah berlarutan sekian lama sehingga sering dijadikan bahan perdebatan politik, namun perkara lebih penting adalah memastikan kapasiti bekalan yang dirancang benar-benar dapat dimanfaatkan rakyat.
“Keperluan air bukan hanya untuk kegunaan domestik, malah meliputi sektor industri, komersial, hospital, sekolah, universiti, pembangunan perumahan serta projek ekonomi baharu selain keperluan rizab operasi.
“Pada masa sama, negeri turut berdepan cabaran Non-Revenue Water (NRW) yang perlu ditangani secara berterusan,” ujarnya.
Tambah beliau, kelima-lima projek ini mempunyai sejarah perancangan merentasi pentadbiran sebelum Sanusi menjadi Menteri Besar pada Mei 2020.
“Namun, apa yang boleh dinilai ialah apa yang berlaku kepada projek-projek tersebut sepanjang tempoh pentadbiran beliau dan usaha Kerajaan Negeri memastikan projek dapat disiapkan demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Kedah,” katanya.
STATUS TERKINI LRA KEDAH
LRA Pelubang: 94.14 peratus (454 MLD, RM431 JUTA)
LRA Jenun Baru: 99.7 peratus (110 MLD, RM156.8 JUTA)
LRA Lubuk Buntar: 100 peratus (34 MLD, RM51.9 JUTA)
LRA Bukit Selambau: tender semula (70 MLD)
LRA Sungai Limau: tender semula (40 MLD)

Post a Comment