Header Ads

test

HENTIKAN AMALAN ‘SEWA ATAS SEWA’ PREMIS, LINDUNGI HAK PENIAGA KECIL

 

Roslinda Hashim
LANGKAWI - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) digesa menjalankan audit dan pemeriksaan menyeluruh terhadap penyewa premis serta tapak perniagaan milik PBT bagi membendung amalan ‘sewa atas sewa’ yang didakwa membebankan usahawan kecil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung amalan tersebut sejak kebelakangan ini, termasuk penyewa asal yang tidak lagi menjalankan perniagaan tetapi masih menguasai premis untuk disewakan kepada pihak lain.
Menurutnya, keadaan itu lebih membimbangkan apabila pihak ketiga mengenakan kadar sewa serta deposit yang tinggi sehingga membebankan usahawan kecil yang benar-benar mahu mencari rezeki.
“Saya menggesa pihak PBT melaksanakan audit dan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua penyewa, termasuk premis kedai, tapak pasar malam, pasar minggu dan tapak penjaja.
“Penyewa yang tidak lagi menjalankan perniagaan wajar serahkan semula premis atau tapak kepada PBT untuk ditawarkan kepada usahawan lain yang benar-benar memerlukan.
"Sekiranya terdapat pelanggaran syarat penyewaan, tindakan tegas perlu diambil mengikut peraturan yang berkuat kuasa," katanya.
Beliau turut menggesa PBT supaya tidak hanya menunggu aduan orang ramai, sebaliknya melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara proaktif bagi memastikan kemudahan perniagaan awam diurus dengan baik.
Katanya, kegagalan membendung amalan itu bukan sahaja merugikan usahawan kecil, malah berpotensi menjejaskan reputasi serta keyakinan masyarakat terhadap PBT.
“Akhirnya, usahawan kecil yang benar-benar mahu berniaga terpaksa menanggung beban,” katanya.
Tegas Amar Pared, premis dan tapak perniagaan milik PBT merupakan kemudahan awam yang perlu diurus secara telus, adil dan berintegriti, bukannya dimonopoli atau dijadikan ‘lubuk’ keuntungan pihak ketiga.
"Sudah tiba masanya peluang perniagaan dikembalikan kepada mereka yang benar-benar berniaga dan mencari rezeki," katanya.

Tiada ulasan