SUNGAI KEDAH BAKAL JADI PENTAS KEJOHANAN BOT LAJU DUNIA
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Sungai Kedah bakal mencipta sejarah sebagai lokasi pertama negara menganjurkan kejohanan bot laju bertaraf dunia di laluan sungai menerusi penganjuran Kejohanan Bot Laju Dunia Kedah 2026.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato' Mohd Salleh Saidin, kejohanan yang bermula pada 5 hingga 7 November ini dijangka menarik lebih 5,000 pengunjung dan akan diadakan di Sungai Kedah, berhampiran Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ampang Jajar.
"Penganjuran berprestij itu bakal menyaksikan penyertaan pasukan dan pelumba antarabangsa dari United Kingdom, New Zealand, Finland, Itali, China, Australia, Singapura, Thailand dan Hong Kong.
"Pemilihan Sungai Kedah sebagai lokasi pertandingan menawarkan cabaran serta keunikan tersendiri kepada pelumba, selain memberi pengalaman berbeza berbanding kejohanan bot laju yang lazimnya berlangsung di laut atau tasik," ujarnya.
Beliau berkata demikian sempena pengumuman penganjuran Kejohanan Bot Laju Dunia Kedah 2026, di Muzium Negeri Kedah, di sini.
Jelasnya, usaha membawa kejohanan bertaraf dunia ke Kedah juga mencerminkan pendekatan Kerajaan Negeri dalam mempelbagaikan tarikan pelancongan, di samping memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi penganjuran acara sukan antarabangsa.
Katanya, kejohanan itu turut membuka ruang kepada Kedah untuk memperkenalkan potensi sungai sebagai produk pelancongan sukan yang mampu menarik perhatian peminat sukan permotoran air dari dalam dan luar negara.
"Selain mengetengahkan sukan bertaraf antarabangsa, penganjuran tersebut juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat, khususnya pengusaha makanan, peniaga kecil, pengusaha pelancongan dan sektor perkhidmatan," katanya.
Post a Comment