Header Ads

test

DIDIK vs DERA Seringkali kita mendengar ibubapa yang garang dan tegas serta menjadikan 'rotan' sebagai proses didikan lah menye...


DIDIK vs DERA Seringkali kita mendengar ibubapa yang garang dan tegas serta menjadikan 'rotan' sebagai proses didikan lah menyebabkan anak-anak membesar menjadi manusia. Katanya, "pukul kerana sayang". Sehinggakan terkadang tiada beza pukul tanda sayang atau pukul mengikut nafsu. Selagi tidak mati, kita katakan itu mendidik dan "Begitulah aku dibesarkan." Apabila sudah mati kita kecam ibubapa itu beramai-ramai sebagai pembunuh. Adakah kematian menjadi garis pemisah antara mendidik dan mendera? [1]. Tindakan memerlukan ilmu, bukannya berdasarkan amalan turun-temurun. Menjadi ibubapa memerlukan ilmu [1]. "Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?" (Al-Baqarah 2:170) Justeru, ilmu lah yang membezakan corak didikan terhadap anak-anak. Sungguhpun tidak dinafikan sedikit sebanyak didikan yang diterima juga mempengaruhi didikan yang diberi. Namun, kesedaran terhadap gaya keibubapaan yang lebih bersifat pertengahan adalah lebih utama untuk dipelajari, difahami dan diamali. Berikut adalah prinsip-prinsip asas yang diterapkan oleh pemikir dan cendekiawan ulung Tan Sri Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Za'ba melalui olahan ayat Al Quran surah Al-Nahl ayat 125, "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." Berdasarkan ayat ini, menurut Za'ba [1], [2]: 1. Ibubapa tidak dibenarkan menggunakan kekerasan atau kelakuan yang garang semata-mata apabila mengajar, mengajak atau mendidik anak-anak. 2. Ibubapa hendaklah menunjukkan kaedah yang betul yang boleh diterima oleh akal fikiran anak, berlemah-lembut dan bijaksana dalam mendidik anak supaya dapat menyentuh hati dan fikiran anak. 3. Ibubapa tidak cemik dan cerca anak, tidak mengeji dan maki nista dan tidak sumpah seranah dengan kata-kata yang kasar kerana kata-kata sebegitu akan meliarkan hati, tidak menyentuh hati dan tidak meningkatkan akal fikiran anak. 4. Anak juga tidak boleh dimanja-manjakan terlampau, dituruti segala kehendak, dibiarkan segala perbuatannya dan belikan apa sahaja kemahuannya. 5. Adalah salah sekiranya ibubapa tidak melarang dan tidak menetapkan batasan atas perbuatan anak kerana tidak sampai hati memarahi anak atas alasan sayangkan anak. 6. Anak harus disedarkan bahawa ibubapa mempunyai kuasa (autoriti) ke atas anak maka anak perlu mengikut perintah ibubapa. 7. Ibubapa jangan hanya menggertak hendak menghukum anak sedangkan hukuman itu tidak dilaksanakan. Gertak yang tidak dilaksanakan akan menghilangkan autoriti ibubapa pada mata anak dan anak tidak langsung menghormati ibubapa. 8. Ibubapa perlu terangkan kepada anak kenapa ibubapa marah dan apakah kesalahan yang dilakukan anak bukan hanya memukul dan menghukum untuk menyakitkan. 9. Apabila anak berbuat kebaikan dan menyempurnakan peraturan yang ada, ibubapa hendaklah memberi pujian kepada anak. 10. Jika ibubapa berjanji hendak memberikan ganjaran atau hadiah kepada anak kerana berkelakuan baik, tepatilah janji itu. 11. Anak harus dilatih menggunakan akal fikiran dan pertimbangan dari kecil lagi. 12. Berceritalah dan terangkan kepada anak tentang kepentingan adab dan budi pekerti dengan menggunakan contoh-contoh dan menggunakan perkataan yang mudah dan sesuai dengan usia anak. 13. Anak harus berterusan dilatih untuk berbuat baik dan meninggalkan kejahatan bukan kerana mengharapkan balasan atau takutkan hukuman tetapi kerana akal fikiran dan pertimbangannya tahu mana yang baik dan mana yang tidak kerana sudah dilatih. 14. Anak boleh menjadi orang yang berhemah tinggi, mulia tingkah laku, halus budi pekerti, elok adab perangai dan kesopanan jika cukup asuhan dan didikan yang baik daripada ibubapa serta baik contoh teladan yang dilihat pada ibubapa setiap hari. 15. Apa yang diajar oleh guru di sekolah menjadi seumpama 'mencurah air ke daun keladi' sekiranya teladan yang ditunjukkan oleh ibubapa di rumah adalah berlainan dengan apa yang cuba diajar oleh guru. Rujukan: [1]. Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy. [2]. Za'ba 1895-1973. (2009). Mencapai keluhuran budi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. #UrusetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 3/20/2021, 12:00:49 PM 

Tiada ulasan