Header Ads

test

UMBA ANCAM KEDAULATAN KEDAH ALOR SETAR - Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor memberi penegasan kepada Perbadanan Bek...


UMBA ANCAM KEDAULATAN KEDAH ALOR SETAR - Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor memberi penegasan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) agar tidak lagi mencampuri urusan hal ehwal pentadbiran sumber air Kedah berkait Ulu Muda yang menjadi sumber utama air mentah Pulau Pinang. "Saya menasihatkan PBAPP agar tidak mencampuri urusan dalaman negeri Kedah. Negeri ini ada Sultan, ada kerajaan, ada wilayah yang berdaulat, ada undang-undang tubuh negeri. Jadi, jangan suka-suka campur tangan dalam wilayah Kedah. Ulu Muda adalah tanah Kedah," ujar Menteri Besar. Isnin lalu, Pulau Pinang melalui kenyataan PBAPP tetap menyarankan penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda (UMBA) yang pernah dicadang dalam siaran media bertarikh 19 Mac 2021 lalu. UMBA dicadang bagi melindungi tadahan air di Empangan Muda, Pedu dan Ahning. Kenyataan terbaru PBAPP itu bagi menjawab respon Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Zaini Ujang pada 30 April lalu yang akan menubuhkan Lembaga Lembangan Sungai Muda (MRBA). KASA bakal menubuhkan MRBA bagi mengawal selia lembangan Sungai Muda yang berada menjadi sempadan negeri bagi Kedah dan Pulau Pinang. Menurut Menteri Besar, penubuhan lembaga tersebut selari dengan peruntukan di bawah Kerajaan Persekutuan di mana sebatang sungai yang melalui sempadan antara dua negeri, sungai itu berbalik kepada pengurusan Kerajaan Persekutuan. MRBA berkuasa memantau lembangan Sungai Muda yang dikongsi oleh Kedah dan Pulau Pinang sahaja manakala lembangan sungai selebihnya berada dibawah seliaan kerajaan negeri Kedah kerana berada diatas tanah milik Kedah sepenuhnya. Berbeza dengan cadangan penubuhan UMBA oleh PBAPP yang jelas bakal melanggar bidang kuasa pentadbiran dan menceroboh kedaulatan kawasan Kedah kerana melibatkan jajaran sungai yang bersambung ke Empangan Muda, Pedu dan Ahning yang berada di wilayah Kedah. Haji Sanusi memberitahu bahawa pihaknya telah memohon kerjasama pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk menjadi perunding kepada kedua-dua negeri yang ini bagi menyelesaikan isu tuntutan cas air mentah kepada Pulau Pinang dan mencari solusi yang terbaik. "Jika nak kita (kerajaan negeri) ambil kira keperluan air mentah untuk kepentingan Pulau Pinang, sila buat bayaran tuntutan cas air mentah seperti mana Syarikat Air Darul Aman (SADA) bayar kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah. Seperti itulah PBAPP patut bayar kepada negeri Kedah," tegas beliau lagi. Beliau turut memaklumkan perkembangan terkini dua projek Tadahan Air Pinggiran Sungai (TAPS), proses pembinaan telah bermula setelah mendapat dana dari Kerajaan Persekutuan baru-baru ini dan kini sedang berjalan lancar. 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua' #UrusetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 5/5/2021, 7:00:50 PM 

Tiada ulasan