Header Ads

test

SABK KEDAH CAPAI KEPUTUSAN SPM, STAM 2020 CEMERLANG


SABK KEDAH CAPAI KEPUTUSAN SPM, STAM 2020 CEMERLANG

ALOR SETAR – Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 bagi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) diadakan secara atas talian di Wisma Darul Aman, semalam.

Beberapa kategori anugerah yang diumumkan dalam majlis tersebut. Antaranya pencapaian 100 peratus lulus semua mata pelajaran, peningkatan gred purata sekolah (GPS) selama empat tahun berturut-turut, pencapaian GPS bawah 3.0, lonjakan saujana GPS melebihi 0.75 dan pencapaian mata pelajaran terbaik.

Majlis tersebut turut meraikan 10 pelajar cemerlang yang mencapai keputusan mumtaz dalam STAM bagi tahun 2020. Mereka membawa pulang RM300, plak iringan dan sijil penghargaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, YB Brigedier Jeneral (B) Dato' Haji Najmi Haji Ahmad berkata, tahun 2020 merupakan pencapaian yang terbaik bagi SABK sejak bermula pendaftaran pada tahun 2015 lalu.

“Bagi wakili Kerajaan Negeri Kedah,  saya mengucapkan tahniah dan syabas di atas kejayaan ini khususnya kepada rakan-rakan pengetua, guru dan para pelajar.

Saya juga menaruh harapan supaya kejayaan seperti ini dapat dipertahankan dan dipertingkatkan di masa akan datang,” katanya.

Katanya, kejayaan yang diperoleh ini adalah bukti kerajaan menggalakkan hasrat sekolah-sekolah agama untuk mendaftar sebagai SABK telah mendapat pulangan yang diharapkan.

“Kita juga dapat berbangga bahawa SABK dapat bersaing di arus perdana dan dapat menandingi pencapaian sekolah-sekolah yang terkenal di negeri Kedah,” ujarnya lagi.

Maklum beliau, Sekolah Maahad Dini Sultan Abdul Halim, Sik telah didaftar sebagai SABK dan ini menjadikan keseluruhan SABK di Kedah berjumlah 32 buah dan tertinggi di Malaysia.

Tambahnya lagi, setiap sekolah perlu menerapkan nilai modal insan dari segi pendidikan dan kemahiran tanpa mengetepikan akidah dan akhlak pelajar.

“Bagi saya, aspek akhlak, budi pekerti, integriti, amanah dan nilai-nilai murni adalah komponen yang amat penting dalam membina bangsa demi mencapai kemajuan ekonomi yang lestari,” jelas beliau.

#UrusetiaPeneranganDarulAman
#UPDA

Tiada ulasan