Header Ads

test

PEMULIHAN KESAN BENCANA DIJANGKA SELESAI MENJELANG DISEMBER YAN


PEMULIHAN KESAN BENCANA DIJANGKA SELESAI MENJELANG DISEMBER

YAN - Kerajaan komited menyelesaikan kerja-kerja pemulihan dan pembaikan kesan bencana aliran puing di sekitar Gunung Jerai menjelang Disember tahun ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan media selepas membuat lawatan kawasan bencana di Yan, kelmarin. Lawatan tersebut bertujuan meninjau kesan kerosakan selepas bencana aliran puing dan banjir lumpur yang berlaku 18 Ogos lalu.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli turut mencadangkan agar satu sistem amaran awal bagi pemantauan dan pengesanan tanah runtuh di Gunung Jerai dibangunkan demi keselamatan pengunjung. Sebanyak 69 lokasi bencana tanah runtuh dan lima lokasi punca aliran puing dikenal pasti oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Tambahnya lagi, satu tindakan bersepadu di antara Agensi Tindakbalas termasuk Agensi Teknikal membuat penzonan kawasan bencana mengikut tahap risiko. Ia dapat menjadi rujukan kepada agensi terlibat dalam kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan cerun.

Beliau turut menerangkan berkaitan pewartaan Gunung Jerai sebagai Hutan Simpanan Kekal dan tiada sebarang aktiviti pembalakan dibenarkan.

“Kawasan Hutan Simpanan Kekal Gunung Jerai diklasifikasikan sebagai Hutan Perlindungan bagi maksud tadahan kawasan tadahan air. Hutan Simpanan Kekal ini menjadi sumber air mentah yang dirawat oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk dibekalkan kepada penduduk sekitar Yan, Gurun, Singkir, Merbok dan Semeling. Hutan Simpanan Kekal ini tidak dibenarkan untuk dijalankan sebarang aktiviti pembalakan,” ujar beliau.

Dalam program yang sama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut menyampaikan bantuan bencana bernilai RM100 ribu kepada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jerai.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Haji Awang Hashim, Ahli Parlimen Jerai, YB Ustaz Sabri Azit, Pegawai Daerah Yan, YM Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Haji Hisamuddin Termidi dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA

Tiada ulasan