Header Ads

test

6 PERKARA YANG PERLU DIKETAHUI TENTANG SIDANG DUN KEDAH










6 PERKARA YANG PERLU DIKETAHUI TENTANG SIDANG DUN KEDAH
Sidang DUN Kedah sedang berlangsung. Bermula hari ini 20 hingga 23 September 2021. Ada 6 perkara penting yang perlu diketahui tentang sidang DUN Kedah kali ini.
_____________
PERTAMA: MAKSUD DISEBALIK NAMA PERSIDANGAN
Setiap persidangan mempunyai satu nama yang khusus. Ianya dibuat bagi membezakan antara satu persidangan dengan persidangan yang lain dan memudahkan rujukan. Bagi persidangan kali ini, namanya ialah Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Yang Ke-14.
'Mesyuarat Pertama' merujuk kepada bilangan persidangan yang diadakan di dalam satu-satu tahun kalendar masihi. Manakala 'Penggal Keempat' pula merujuk kepada tahun yang keempat pentadbiran Kerajaan Negeri sejak berlakunya Pilihan Raya Umum yang lalu. Dan 'Dewan Undangan Negeri Kedah Yang Ke-14' pula merujuk kepada DUN Kedah yang terbentuk setelah berlakunya Pilihan Raya Umum kali ke-14. Begitulah seterusnya.
______________
KEDUA: AGENDA TITAH UCAPAN KDYMM TUANKU
Setiap kali 'Mesyuarat Pertama', Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan akan bertitah merasmikan persidangan sebagai simbol kepada sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan. Titah Ucapan KDYMM Tuanku dianggap sebagai ucapan dasar atau 'policy statement' yang akan menyentuh mengenai perkara-perkara dasar dan aktiviti pentadbiran yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Setakat ini, Titah Ucapan KDYMM Tuanku Sultan berlaku sekali sahaja dalam setahun, sama seperti Titah Ucapan Seri Paduka Baginda (SPB) Yang Dipertuan Agong yang juga berlaku sekali dalam setahun di peringkat Dewan Parlimen.
Titah Ucapan ini kemudiannya akan dibahas oleh Ahli-ahli Yang Berhormat di dalam satu agenda khusus yang dinamakan Usul Menjunjung Kasih terhadap Titah Ucapan KDYMM Tuanku. Ketika inilah Ahli-ahli Yang Berhormat akan membangkitkan pelbagai isu dan memberikan pandangan dan kritikan terhadap perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri, sebagai mewakili suara rakyat dari kawasan masing-masing.
Bagi Kerajaan Negeri Kedah di era pentadbiran YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor, ini adalah Titah Ucapan KDYMM Tuanku yang pertama. Titah Ucapan ini merupakan indikator utama sejauh mana KDYMM Tuanku berpuas hati dengan kepimpinan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah pada masa kini.
______________
KETIGA: ISI PENTING DI DALAM TITAH UCAPAN KDYMM TUANKU
Di dalam sidang yang berlangsung pada hari pertama, terdapat 13 isi penting yang perlu diberi perhatian:
1. Bencana kepala air di Gunung Jerai
2. Situasi rakyat pasca Pandemik Covid-19
3. Pengurusan vaksin Covid-19
4. Bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat Covid-19
5. Perancangan pemulihan ekonomi negeri
6. Prestasi pelaburan di Negeri Kedah yang membanggakan
7. Plan Pembangunan Kedah 2035
8. Prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
9. Pemeliharaan alam sekitar dan sumbernya
10. Pemulihan sektor pelancongan pasca Covid-19
11. Penyelenggaraan, kebersihan dan kekemasan di kawasan perbandaran
12. Kemelut politik dan sifat negarawan ahli politik
13. Kebijaksanaan di dalam perbahasan dewan
_____________
KEEMPAT: PENGGUNAAN HADITH, KATA HIKMAH DAN PEPATAH MELAYU DI DALAM TITAH UCAPAN KDYMM TUANKU
Di dalam Titah Ucapan KDYMM Tuanku, terdapat 1 hadith, 1 kata hikmah dan 1 pepatah Melayu digunakan bagi menjelaskan lagi maksud mesej yang disampaikan.
1. Hadith Rasulullah SAW mengenai penawar penyakit. Diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, Rasulullah SAW pernah bersabda. "Sesungguhnya ketika Allah menciptakan penyakit, diciptakan juga penawarnya. Maka, berubatlah kamu". Hadith ini digunakan sebagai rujukan di dalam Titah Ucapan Tuanku bagi merujuk kepada keharusan penggunaan vaksin di dalam menangani wabak Covid-19.
2. Kata hikmah oleh James Freeman Clarke, seorang tokoh Amerika Syarikat pada kurun ke-19: "A politician thinks of the next election, a stateman thinks of the next generation". Kata-kata ini ditujukan Baginda Tuanku khusus kepada para ahli politik, supaya memiliki sifat negarawan.
3. Pepatah Melayu: "Bagaimana bunyi gendang, begitulah tarinya". Pepatah ini digunakan oleh Baginda Tuanku juga khusus kepada para Ahli Yang Berhormat agar berbahas dengan baik di dalam sidang kali ini, kerana ia akan memberi kesan kepada rakyat di luar.
____________
KELIMA: PENGETAHUAN KDYMM TUANKU TENTANG KEMAJUAN NEGERI KEDAH
Perlu diketahui, walaupun Titah Ucapan KDYMM Tuanku di dalam DUN ini hanyalah sekali sahaja dalam setahun, namun Baginda sangat mengikuti rapat semua perkembangan Kerajaan Negeri Kedah. Baginda akan menerima laporan daripada memanda Menteri Besar (MB) Baginda secara mingguan, di dalam Majlis Mengadap khas yang berlangsung pada setiap hari Selasa, setiap minggu. Sejak berlakunya Pandemik Covid, kebanyakkan sesi mengadap tersebut berlaku secara maya.
Kebiasaannya, satu-satu sesi mengadap akan mengambil masa antara dua (2) hingga tiga (3) jam. Ya, memang lama. YAB MB akan membentangkan laporan mingguan tentang kemajuan Kerajaan Negeri, termasuk isu-isu semasa yang berbangkit. Pembentangan tersebut berlaku secara dua hala, pembentangan dari YAB MB yang lengkap dengan data, angka dan fakta, serta pertanyaan balas daripada KDYMM Tuanku. Walaupun sesi tersebut hanya melibatkan dua individu sahaja (KDYMM Tuanku Sultan dan YAB MB), namun sesi tersebut umpama satu 'Pra-Sidang DUN'. Ini menunjukkan betapa dekatnya Negeri Kedah dengan hati sanubari KDYMM Tuanku, dan betapa eratnya hubungan KDYMM Tuanku dengan YAB MB.
Justeru, tidak hairanlah KDYMM Tuanku menzahirkan penghargaan di atas kejayaan-kejayaan yang dilakukan oleh YAB MB dan Kerajaan Negeri Kedah di dalam mentadbir negeri, khasnya ketika tempoh Pandemik Covid-19 ini.
___________
KEENAM: SIDANG NORMA BAHARU
Persidangan kali ini berlangsung dalam keadaan norma yang baharu. Kedudukan ADUN di dalam dewan telah diubah suai supaya mematuhi penjarakan fizikal antara satu sama lain. Selain itu, bilangan kehadiran juga dihadkan hanya kepada ADUN dan Ketua Jabatan yang berkenaan sahaja. Manakala ujian pemeriksaan Covid-19 pula perlu dilaksanakan oleh setiap orang yang hadir pada setiap hari sepanjang tempoh persidangan. Jika 4 hari persidangan, maka 4 kalilah mereka perlu melakukan pemeriksaan. Bagi Titah Ucapan Tuanku dan sidang media pula, kedua-duanya dilaksanakan secara sidang video, bagi mengawal bilangan kehadiran dan mematuhi SOP berkaitan.
___________
Buat Ahli-ahli Yang Berhormat yang akan bersidang, berbahaslah dengan penuh pertimbangan yang adil dan bijak. Berbahaslah bertunjangkan prinsip dan keadilan, demi Kedah yang sejahtera, agar nikmatnya dapat dikongsi oleh semua.
Berdayung mudek ke Kuala Sepat
Kolek bocor dikayuhi juga
Kalau menimbang sama berat
Kalau mengukur sama tepat
Hijau menguning padi di sawah
Tunduk berisi bagai nak rebah
Pendirian kukuh tidak goyah
Menghadap cabaran tidak gelabah

Afnan Hamimi
Alor Setar
20 September 2021

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

Tiada ulasan