Header Ads

test

PROGRAM ANAKKU SEJAHTERA GALAK TABUNGAN PENDIDIKAN















PROGRAM ANAKKU SEJAHTERA GALAK TABUNGAN PENDIDIKAN

LANGKAWI - Kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan program Anakku Sejahtera bagi menggalakkan amalan menabung bagi tujuan pendidikan.

Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat dan proaktif dalam usaha membasmi kemiskinan secara menyeluruh.

"Program Anakku Sejahtera menyasarkan rakyat negeri Kedah yang berpendapatan rendah dengan peruntukkan RM1 juta. Pembiayaan ini khusus kepada setiap anak yang lahir di negeri Kedah mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021.

"Sumbangan akan diberikan dalam bentuk tabungan Simpan SSPN Prime (yang dahulunya dikenali sebagai SSPN- i) dengan jumlah RM100 setiap seorang," ujarnya ketika ucapan Majlis Pelancaran Anakku Sejahtera di Aloft Langkawi, Pulau Tengah, hari ini.

Maklum beliau, terdapat beberapa syarat untuk memohon program ini. Syarat utama, bayi mestilah warganegara dan dilahirkan di negeri Kedah.

Antara syarat lain, ibu atau bapa lahir di negeri Kedah atau bermastautin di negeri Kedah melebihi 10 tahun serta pendapatan isirumah RM3,000 sebulan dan ke bawah.

Tambahnya lagi, borang permohonan boleh didapati di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dan deposit RM100 akan dimasukkan ke dalam akaun Simpan SSPN Prime selepas permohonan diluluskan.

"Dalam hal ini, seiring dengan slogan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ kerajaan berharap program ini dapat memberi manfaat kepada semua rakyat Kedah yang layak tanpa mengambil kira latar belakang kaum atau agama, juga pegangan politik.

"Saya juga menyeru agar kita semua menyahut amalan penabungan sebagai satu langkah penting bagi memastikan masa depan pendidikan anak-anak di tahap yang terbaik," katanya.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”


Tiada ulasan