Header Ads

test

SEKTOR PELANCONGAN LANGKAWI JANA 24.9 JUTA















SEKTOR PELANCONGAN LANGKAWI JANA 24.9 JUTA

LANGKAWI - Program Gelembung Pelancongan Langkawi berjaya mencapai pendapatan pelancongan sebanyak RM24.9 juta dalam tempoh 18 hari.

Menurut Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor, program tersebut memberi sinar baharu kepada sektor pelancongan setelah mencatat kehadiran 60,504 pelancong sehingga 6 Oktober 2021.

"Langkawi disasarkan akan menerima tidak kurang daripada 400,000 orang pelancong mulai 16 September hingga 31 Disember 2021. Saya yakin sasaran akan dapat dicapai dengan perkembangan positif ini.

"Disini saya ingin menyeru supaya penggiat industri pelancongan di Langkawi memberi sokongan kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dalam merealisasikan kempen ini. Tanpa sokongan dan keterlibatan, usaha ini akan menjadi sia-sia," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Langkawi Great Sales (LGS) di ruang masuk Cable Car, hari ini.

Tambah beliau, Langkawi juga bakal melancarkan LGS yang mengetengahkan elemen promosi secara digital dan konvensional yang mampu menarik minat pelancong.

Langkawi juga dijangka akan dibuka kepada pelancong antarabangsa sekitar November atau Disember 2021 tertakluk kepada keputusan Kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri berharap agar program perintis gelembung pelancongan ini akan melakar sejarah baru dalam industri pelancongan negara dan dijadikan contoh kepada negeri lain.

"Saya juga menyeru kepada semua yang ingin melancong di Langkawi supaya sentiasa menitikberatkan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang berada di pulau peranginan ini bagi mengelakkan tercetusnya penularan wabak COVID-19," ujar beliau.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”


Tiada ulasan