Header Ads

test

50 PAKAR BANTU REALISASI GAGASAN CORDOBA OF KEDAH







50 PAKAR BANTU REALISASI GAGASAN CORDOBA OF KEDAH

ALOR SETAR – Seramai 50 pakar yang terdiri daripada ahli akademik beberapa universiti tempatan dan kepimpinan agensi berkumpul dalam Bengkel Cordoba of Kedah di Raia Hotel bagi membuat satu rangka tindakan (blueprint) yang holistik.

Antara pakar yang terlibat adalah daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muad'zam Shah (UniSHAMS), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Bengkel ini dianjurkan oleh Pejabat Exco Agama Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah dengan kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia, YB Brigedier Jeneral Dato' Haji Najmi Haji Ahmad (
😎
berkata, program yang dilaksanakan ini merupakan satu usaha kerajaan negeri bagi memanfaatkan tenaga kemahiran tinggi menjelang tahun 2035.

"Program Cordoba Of Kedah adalah satu gagasan baru yang dilontarkan Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor dalam ucapan pembentangan Bajet Kedah tahun lepas.
"Jadi kita menyambut gagasan ini dengan kita cuba menyesuaikan dengan rangka tindakan Kedah 2035," ujar beliau.

Beliau berkata, Cordoba of Kedah akan menjadikan UniSHAMS sebagai hab pendidikan utama dalam pelaksanaannya.

“Kita cuba menyusun sistem pendidikan yang pelbagai yang telah berjalan di Kedah seperti pusat pengajian, pondok, sekolah agama dan sebagainya.
"Jadi kita cuba satukan dengan manfaatkan kekuatan yang ada bagi melahirkan generasi madani dalam tempoh 15 tahun akan datang dan selanjutnya, Insya Allah.
"Ini satu usaha yang perlu dilakukan dalam menguatkan jati diri umat Islam. Usaha ini bagi melengkapkan kekuatan kerohanian, semangat dan kemahiran," katanya.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Norizan Khazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, Dato' Nik Azhan Hakim Nik Mahmood, Ahli Dewan Negara, YB Senator Dato' Ustaz Haji Ahmad Yahaya, ADUN Sungai Limau, YB Mohd Azam Abd Samat, ADUN Kuala Ketil, YB Mejar Mansor Zakaria, dan Timbalan Pengerusi Yayasan Islam Kedah, Ustaz Rodhi Abdul Rahman.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"


Tiada ulasan