Header Ads

test

KERAJAAN KEDAH HANTAR 300 SUKARELAWAN, ASET AGENSI BANTU BANJIR SELANGOR


KERAJAAN KEDAH HANTAR 300 SUKARELAWAN, ASET AGENSI BANTU BANJIR SELANGOR

ALOR SETAR - Lebih 300 sukarelawan daripada pelbagai agensi menyertai misi bantuan banjir anjuran kerajaan negeri ke Selangor.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata misi bantuan ini bermula hari ini sehingga Selasa minggu hadapan.

Katanya, misi ini adalah untuk membalas jasa baik sukarelawan negeri Selangor yang hadir memberi bantuan kepada mangsa bencana di Kedah pada tragedi kepala air pada Ogos lalu.

"Sebahagian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kedah telah sampai sana sebelum pelancaran ini. Pada hari pertama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sampai ke Taman Sri Muda untuk menyedut air banjir manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) turut menyumbang aset-aset serta petugas," ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada sidang media pelancaran Misi Bantuan Banjir Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.
Menteri Besar turut memaklumkan beliau sendiri akan menyertai misi bantuan ini esok dan akan menyerahkan simbolik replika cek bernilai RM200,000 kepada Kerajaan Negeri Selangor pada Selasa ini.

"Saya mengharapkan misi bantuan ini menjadi satu budaya yang sihat dan subur di kalangan rakyat Malaysia. Di mana-mana sahaja di belahan bumi ini yang ditimpa musibah, rakyat Malaysia daripada lokasi lain yang tidak terkena musibah akan sama-sama menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mangsa," tambah beliau.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”


Tiada ulasan