Header Ads

test

MENJAWAB TUDUHAN KM PULAU PINANG


MENJAWAB TUDUHAN KM PULAU PINANG

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow baru-baru ini tidak bercakap benar apabila mendakwa tidak pernah menerima apa-apa tuntutan rasmi daripada Kerajaan Kedah termasuk bayaran mengabstrak air mentah dari Sungai Muda.

Menjawab soalan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 November lalu, Chow menyifatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hanya berani membuat kenyataan melalui media sahaja namun tidak pernah membangkitkan hal itu menerusi platform rasmi termasuk ketika mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri.

Kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang ternyata bercanggah dengan rekod.

Kerajaan Kedah sebenarnya telah memulakan usaha menuntut caj pengabstrakan air mentah Sungai Muda daripada Pulau Pinang sejak 2014.

Tindakan itu diambil setelah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk menghantar delegasi ke Pulau Pinang merundingkan hal tersebut. Langkah itu bagaimanapun terhenti apabila Kerajaan Pulau Pinang bertegas tidak mahu mengadakan sebarang rundingan berkaitan perkara itu di peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Pada Oktober 2018, pemimpin Kerajaan Kedah telah melakukan kunjungan ke pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang. Malangnya, dalam pertemuan itu, tidak ada kata sepakat yang dicapai berkaitan tuntutan berkenaan.

Menerusi sepucuk surat bertarikh 10 November 2020, Kerajaan Kedah mengemukakan tuntutan ‘Payment For Ecosystem’ kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

‘Payment For Ecosystem’ berupa tuntutan kos tanggungjawab menyelenggara dan memulihara Hutan Simpan Ulu Muda yang menjadi tadahan bagi aliran Sungai Muda.

Pulau Pinang mengabstrak air mentah dari Sungai Muda sebanyak 1,100 mld atau 1,100 juta liter padu sehari berbanding hanya 800 mld (800 juta liter padu) diabstrak oleh Kedah.

Sebanyak 80 peratus daripada keperluan guna air seluruh Pulau Pinang adalah daripada Sungai Muda yang berpunca dari wilayah di dalam negeri Kedah.

Justeru, kos seharusnya ditanggung bersama oleh kedua-dua negeri bagi memastikan Hutan Simpan Ulu Muda terus dapat dilestarikan sebagai kawasan tadahan.

Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) selaku badan berkanun di bawah Kerajaan Kedah bertanggungjawab menguruskan kesemua sumber air termasuk kawasan tadahan di seluruh negeri.
Operator bekalan air negeri Kedah, Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang juga anak syarikat Kerajaan Negeri juga perlu membayar 3 sen kepada LSANK bagi setiap meter padu yang diabstrak dari pelbagai sumber air di dalam negeri ini.

Dalam mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) dihadiri Menteri Besar dan Ketua Menteri secara maya dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 21 Oktober lalu, Muhammad Sanusi sekali lagi membangkitkan isu tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang.

Terkini, dalam mesyuarat Majlis Air Negara (MAN) pada 15 Disember 2021, Menteri Besar Kedah sekali lagi membangkitkan isu tuntutan terhadap Pulau Pinang.

Justeru, kenyataan Chow bukan sekadar menyanggahi rekod kerajaan malahan juga boleh dianggap suatu cubaan untuk berdusta. Ironinya, ia dilakukan dalam sidang dewan yang mulia.

Isu ini tidak akan berlarutan jika bukan kerana sikap pemimpin Kerajaan Pulau Pinang sendiri.

Kerajaan Kedah sejak 2014 lagi berusaha mengajak pemimpin Pulau Pinang berunding namun tidak diendahkan.

Sikap Chow ternyata menepati bidalan ‘paku dulang, paku serpih’ atau ‘meludah ke langit akhirnya jatuh ke muka sendiri’.

Apa yang disebutkan beliau adalah apa yang sebenarnya dilakukan oleh pemimpin Pulau Pinang sendiri.

Mereka bukan sahaja tidak mengendahkan pendekatan diplomasi yang diusahakan oleh kerajaan Kedah sebaliknya sering melemparkan pelbagai fitnah terhadap Kedah menerusi media, terutama Timbalan Ketua Menteri, P. Ramasamy dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa.
Oleh: Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim


 

Tiada ulasan