Header Ads

test

AJAR ANAK HORMATI GURU



SINTOK- “Mak bapak pesanlah kepada anak-anak untuk sentiasa hormati guru, kena ada kecintaan anak murid kepada guru baru ilmu masuk dalam dada,” kata Menteri Besar, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut beliau ketika merasmikan Program  Tranformasi Daerah (DTP) : Pemantapan PIBG Dan PIBKS  dan Pelancaran "Terima Kasih Cikgu" Peringkat Negeri Kedah bertempat di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini, hubungan anak murid dengan cikgu bukan sekadar hubungan pelajar dan guru tetapi perlu ada hubungan rohani.

Katanya setiap guru seharusnya menjadi model untuk mendorong pembentukan sikap terpuji anak-anak didik kerana guru adalah warga yang boleh diteladani akhlak dan peribadinya.

Muhammad Sanusi turut memberi komen bahawa model pendidikan yang digagaskan dalam sistem pendidikan antarabangsa tidak sesuai diterapkan dalam semua komuniti di semua tempat kerana setiap pelajar mempunyai pendekatan berbeza untuk dididik.

“Cabaran semakin besaq tetapi anak kita semakin hari semakin manja. Dah la dimanjakan di rumah nak apa semua mak pak bagi, pi sekolah cikgu nak ajaq tak boleh. Kita nak hasilkan pelajar-pelajar yang dididik bukan diternak,” tegas Sanusi.

Jelasnya kesalahan akan menjadi perkara biasa jika pelajar yang melakukan kesalahan tidak boleh didenda. Maka terbentuklah masyarakat yang compang-camping yang hidup jasmani, rohnya mati.

Tambah beliau tugas guru bukan sekadar mengajar melalui pedagogi, namun mendidik untuk membentuk insan generasi muda yang berperilaku mulia, baik, jujur serta mampu mengembangkan potensi yang dimiliki oleh anak didiknya.

Semua pihak menurutnya perlu terbabit dengan sektor pendidikan dan sebagai ibu bapa perlu memahami bebanan tugas yang digalas oleh para guru untuk medidik anak-anak hadapi cabaran hidup di masa depan.

Menteri Besar berkata kerajaan negeri akan menyokong sepenuhnya aktiviti dan peranan yang akan dimainkan oleh Bengkel kerja pemantapan pengoperasian pelibatan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta (PIBKS) dan Persatuan Ibu bapa dan guru (PIBG) untuk membentuk anak-anak menghadapi cabaran yang semakin hari semakin mencabar.


#MediaMBKedah
#UrusSetiaPeneranganDarulAman


 

Tiada ulasan