RAMADAN YANG BERBAKI JANGAN DISIA-SIAKAN PADANG TERAP- Hari ini sudah selesai 24 hari umat Islam menjalani ibadah puasa di bula...
RAMADAN YANG BERBAKI JANGAN DISIA-SIAKAN PADANG TERAP- Hari ini sudah selesai 24 hari umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang sudah ke penghujungnya. Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan, YB Muhammad Radhi Md Din mengingatkan agar umat Islam tidak mensia-siakan hari-hari yang berbaki ini. "Bagaimana dengan amalan dan ibadah kita sepanjang? Sudah cukupkah amalan yang telah kita laksanakan selepas menempuh 24 hari perjalanan di Madrasah Ramadan?" ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Daerah Padang Terap mewakili Menteri Besar Kedah bertempat di Masjid Kariah Kampung Surau, Kuala Nerang, hari ini. Tambahnya, di penghujung Ramadan ini perlu memperbanyakkan bersedekah, bertadarrus, solat-solat sunat serta paling penting kejarlah malam Lailatul Qadar di 10 malam terakhir ini. "Moga kita dijauhkan daripada golongan yang rugi, iaitu mereka yang direzekikan Allah untuk sampai ke bulan Ramadan, tetapi kesempatan tersebut tidak menjadikan mereka Muslim yang lebih baik dan lebih bertaqwa di sisi Allah SWT," kata beliau. Majlis hari ini adalah untuk meraikan golongan yang banyak berjasa kepada masyarakat iaitu Guru Al-Quran Sukarela, Mudim, Bidan Kampung, Bomoh Patah, Jurumandi Jenazah dan Penggali Kubur dan Muallaf. "Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua" #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 4/4/2024, 9:59:43 PM
Post a Comment