Header Ads

test

SULTAN KEDAH SERU UMAT ISLAM DALAMI AL-QURAN DENGAN LEBIH JELAS




ALOR SETAR – Umat Islam perlu mendalami kitab suci Al-Quran dengan lebih jelas suipaya mudah memahami maksud dan tafsiran yang disampaikan di dalamnya.


Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, mendalami Al-Quran haruslah dilakukan dengan komited demi mendapatkan panduan, bimbingan serta manfaat daripadanya, agar memperolehi kejayaan dunia dan akhirat.


“Al-Quran juga memberi panduan kepada kita mengenai pelbagai aspek kehidupan, seperti hubungan kekeluargaan, hubungan dalam masyarakat, sains, politik, agama, undang-undang, pentadbiran, ekonomi, pengurusan harta, perubatan, dan lain- lain.


“Apa yang penting di sini ialah, perlunya membetulkan amalan melalui pemahaman dan kejelasan terhadap isi kandungan Al-Quran, ketika mentafsirkan ayat-ayat suci dan hukum-hukum-Nya, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT,” titah Baginda.


Baginda bertitah demikian dalam Titah Ucapan Perasmian Penutup Majlis Hafazan dan Tilawah Al-Quran Peringat Negeri Kedah Tahun 2024 Masihi bersamaan 1445 Hijrah di Raia Hotel & Convention Centre, pada Khamis. 


Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.


Titah Baginda lagi, dengan pelaksanaan program Bulan Solat dan Penghayatan Al-Quran di bawah Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Yayasan Islam Negeri Kedah dapat menjadi inspirasi ke arah memartabatkan Al-Quran di negeri ini.


“Beta berharap agar kegemilangan Negeri Kedah, dalam menjuarai pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa, pada suatu ketika dahulu dapat dikembalikan. 


“Diharapkan kepada individu yang telah berjaya, agar dapat menggandakan lagi usaha, sehingga mencapai kejayaan yang lebih cemerlang. 


“Beta yakin, para Qari dan Qariah daripada Negeri Kedah, dapat mengungguli dan seterusnya menjuarai pertandingan tersebut,” titah Sultan Kedah lagi. 


Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan Negeri, YB Muhammad Radhi Mat Din; Speaker DUN Kedah, YB Zubir Ahmad; Mufti Negeri Kedah Darul Aman, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd. Rahman Abdullah; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Dato’ Dr. Abd Ghani @ Zainuddin.


“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”


#UrusSetiaPeneranganDarulAman

#UPDA

Tiada ulasan