Header Ads

test

CADANG PERKASAKAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI UNTUK PENUHI INDUSTRI TEKNOLOGI TINGGI DI KEDAH








Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Sains, YB Dr. Haim Hilman Abdullah mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri Malaysia, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz di Menara MITI, Kuala Lumpur.

Turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Sikh Shamsul Ibrahim; Pengarah BPEN Negeri Kedah, Junaidi Abdul Rani@Abdul Ghani; COO Invest Kedah serta pegawai dari pejabat MITI.

Dr. Haim membentangkan situasi terkini industri dan pelaburan di negeri Kedah khususnya dalam bidang semikonduktor, perkilangan, sektor teknologi baharu, automotif dan lain-lain di mana sektor ini akan dapat membantu pertumbuhan berterusan industri di Kedah.

Beliau turut memberikan beberapa penekanan terutamanya untuk melatih bakat baharu bagi keperluan tenaga kerja industri supaya ianya dapat dibangunkan secara komprehensif melibatkan kerjasama strategik kerajaan negeri dan persekutuan.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan negeri mencadangkan untuk memperkasakan institusi pengajian awam dan negeri yang perlu dibawa bersama dalam melahirkan modal insan bagi memenuhi industri teknologi tinggi yang kian berkembang.

"Kerajaan negeri akan memberi perhatian khusus kepada UniSHAMS dalam menjadi pengeluar modal insan berkemahiran untuk keperluan tenaga kerja mahir dalam dan luar negara.

"Kita juga menyarankan agar UUM sebagai sebuah IPTA di Kedah mempunyai fakulti kejuruteraan bagi melahirkan tenaga kerja dalam bidang sains dan teknologi khususnya menampung keperluan di kawasan industri Bukit Kayu Hitam dan wilayah utara," katanya.

Dalam sesi ini, beliau turut membentangkan potensi-potensi yang dimiliki oleh Kedah dalam sektor tenaga baharu di mana boleh memanfaatkan empangan yang sedia ada bagi membangunkan projek floating solar.

Selain itu, beliau menyarankan agar Gurun Industrial Park dan Kulim Hi-Tech Park yang mempunyai pelbagai syarikat permotoran elektrik dijadikan sebagai hab kereta elektrik di rantau ini.

Kerajaan Negeri Kedah bersedia menyambut dan menguruskan apa sahaja agenda pembangunan yang dirancang oleh persekutuan dan ingin dibangunkan di Negeri Kedah.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA

Tiada ulasan