FESTIVAL AL-QURAN: USAHA MENDEKATKAN MASYARAKAT KEPADA AL-QURAN
ALOR SETAR - Festival Al-Quran Kedah yang berlangsung bermula 9 sehingga 11 Mei itu bertujuan untuk mendekatkan masyarakat dengan al-Quran.
Menurut Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, YB Ustaz Mohd Azam Abd Samat, salah satu cara yang efektif untuk menarik dan mengajak masyarakat dengan al-Quran adalah melalui pendekatan yang lemah lembut dan kreatif bagi memastikan masyarakat dapat menerima dan mencintai al-Quran.
Kerajaan negeri Kedah katanya berusaha untuk memastikan rakyat dekat dengan al-Quran dan dapat menjadikan al-Quran sebagai pembudayaan kehidupan seharian.
Tambahnya lagi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Salehuddin Ibni Almrahum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah dalam Majlis Perasmian Penutup Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Negeri Kedah bulan lepas bertitah agar negeri Kedah dapat melahirkan qari yang hebat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepertimana zaman dahulu.
"Kalau kita tengok zaman dahulu kita ada almarhum Dato' Hj Ismail Hashim, siapa yang tak kenal dengan juara Peringkat Antarabangsa sebanyak 7 kali, anak Kelahiran Jerlun Kedah ini.
"Kita ada jugak Almarhum Dato' Ghani Abdullah juara kebangsaan dan Antarabangsa sebanyak 4 kali. Dan selepas zaman mereka negeri Kedah agak kekurangan dalam melahirkan juara peringkat antarabangsa. Mereka ini telah mengharumkan nama Malaysia dan Negeri Kedah dipersada Antarabangsa," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Festival Al-Quran bertempat di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini.
Mohd Azam berharap penganjuran Festival Al-Quran Kedah dapat menarik lebih ramai masyarakat cintakan kepada Al-Quran seterusnya melahirkan qari dan qariah yang bakal membawa nama negeri Kedah di persada antarabangsa dalam bacaan Al-Quran.
Post a Comment