UNISHAMS JADI PILIHAN ANAK TERENGGANU IKUTI PROGRAM MBBS
UNISHAMS JADI PILIHAN ANAK TERENGGANU IKUTI PROGRAM MBBS KUALA TERENGGANU – Perjanjian kerjasama antara Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) dan Yayasan Terengganu yang ditandatangani akan menjadi titik permulaan kepada satu usaha yang sangat baik untuk memartabatkan pembangunan pendidikan dalam kalangan anak bangsa. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata UniSHAMS merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) milik kerajaan negeri Kedah yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Negeri Jelapang Padi. "Kami amat mengalu alukan untuk anak-anak Terengganu merantau menuntut ilmu ke Kedah, merasai pengalaman hidup di negeri Kedah, membantu apa yang perlu dan bawa balik ke Terengganu apa yang baik dari negeri kami," katanya di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Yayasan Terengganu dan UniSHAMS di Wisma Darul Iman. Jelas Sanusi, suasana persekitaran pusat pengajian yang penuh ketenangan, kos sara hidup yang rendah di Kuala Ketil menjadikan UniSHAMS destinasi pengajian pilihan kepada pelajar dalam menempuhi kembara menuntut ilmu dengan sebaiknya. Hasrat Yayasan Terengganu untuk menghantar pelajar anak negeri itu bagi mengikuti pengajian dalam program MBBS UniSHAMS menurut beliau amat bertepatan dengan apa yang ditawarkan dan seterusnya menjadi doktor perubatan Muslim yang dapat memberikan khidmat bakti kepada masyarakat. "InsyaAllah, menerusi pendedahan kepada nilai-nilai yang terkandung dalam silibus kursus wajib universiti serta penglibatan dalam pelbagai aktiviti di bawah kelolaan Pusat Hal Ehwal pelajar yang berteraskan Islam, graduan program Perubatan dan Pembedahan (MBBS) mampu untuk memupuk dan membina sifat holistik, seterusnya membentuk keperibadian yang unggul dari segi akhlak dan keilmuan. "Selain itu, semua pensyarah yang terlibat dengan pengajaran klinikal di hospital bawah Kementerian Kesihatan (KKM) adalah pakar-pakar yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang perubatan," kata beliau. Tambahnya, kuota pengambilan tidak melebihi 50 pelajar setiap tahun yang ditetapkan oleh Lembaga Perubatan Malaysia (MMC), kadar nisbah pelajar berbanding pensyarah adalah sangat baik dan pengendalian Program Mentor-Mentee yang mantap akan membolehkan pelajar mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran secara optimum. Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, YAB Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Pengerusi Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat dan delegasi Kerajaan Negeri Kedah. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #MBKedah -UPDA 5/29/2024, 11:52:18 AM
Post a Comment