Header Ads

test

KEDAH RAIKAN PELAJAR TERBAIK KAFA, SPM, STAM DAN SIJIL TAHFIZ MALAYSIA


KEDAH RAIKAN PELAJAR TERBAIK KAFA, SPM, STAM DAN SIJIL TAHFIZ MALAYSIA ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah meraikan 33 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tahfiz Malaysia 2023 dalam Majlis Sanjungan Ilmu Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 di Wisma Darul Aman hari ini. Menurut Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, YB Ustaz Mohd Azam Abd Samat bagi peperiksaan UPKK KAFA, seramai 2,895 orang yang berjaya mendapat keputusan straight A iaitu 8A. Katanya lagi, bagi Peperiksaan SPM, gred purata negeri meningkat daripada 4.98 pada 2022 kepada 4.77 pada 2023 dengan peningkatan sebanyak 0.21 peratus dan seramai 568 calon memperoleh keputusan cemerlang (gred A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran berbanding 441 calon pada 2022. "Dengan kejayaan ini telah menjadikan Negeri Kedah mendapat pencapaian terbaik SPM dalam tempoh 10 tahun ini. "Tahniah kepada sekolah Maktab Mahmud Yan atas pencapaian sekolah terbaik SPM peringkat negeri Kedah dengan GPS 1.55," ujarnya dalam majlis tersebut. Bagi peperiksaan STAM jelasnya, seramai 18 orang berjaya mendapat pangkat Mumtaz dan dua orang berjaya mendapat pangkat tertinggi dalam STAM iaitu pangkat Mumtaz Suffi bagi tahun 2023. Tambah beliau, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah juga berjaya melakar sejarah selepas memenangi Pingat Emas dalam Pertandingan Pameran Pencipta Muda Dunia(WYIE) yang berlangsung di Kuala Lumpur seterusnya akan mewakili Malaysia ke pertandingan World Invention Creativity Olympiad (WICO) yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan pada bulan Julai depan. Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Menteri Besar yang telah berusaha memastikan anak-anak Kedah yang menyambung pelajaran dapat dibantu melalui Tabung Tunku Mahmud. "Saya menyeru dan memohon kepada penaja-penaja dan semua yang ada di sini serta yang berada diluar untuk sama-sama kita menyumbang dalam Tabung Tunku Mahmud untuk membantu anak-anak Kedah khususnya dalam bidang pendidikan," kata beliau. "Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua" #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 6/26/2024, 6:51:20 PM 

Tiada ulasan