Header Ads

test

MASYARAKAT BERTANGGUNGJAWAB MEMBANTERAS DADAH DALAM KOMUNITI




BALING - Isu penagihan dadah kini semakin kompleks dan mencabar, memerlukan kerjasama erat daripada masyarakat untuk menangani masalah berkenaan. 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, YB Mejar Mansor Zakaria kejayaan menangani permasalahan dadah bergantung kepada kesedaran, sikap dan amalan sendiri.

Tambahnya, pencegahan merupakan tindakan awalan yang seharusnya dimulakan oleh ibu bapa dan komuniti bermula dari unit keluarga kecil hinggalah kepada keluarga besar (komuniti) dan negara. 

"Ibu bapa perlu mengambil peranan dan melaksanakan tanggungjawab dalam mendidik anak-anak agar mereka dapat bertindak secara asertif 

bagi menghindari gejala negatif. 

"Jika sayangkan keluarga dan komuniti kita, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memerangi dadah dan tidak menyembunyikan aktiviti penagihan dadah di sekeliling kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2024 Peringkat Negeri Kedah bertempat di Dewan Serbaguna KBKK Kuala Ketil, di sini hari ini.

Jelasnya lagi, bagi mencapai matlamat Dadah Terkawal, dua kunci utama yang telah dipersetujui di peringkat kebangsaan iaitu: “Mengurangkan kadar prevalens penagihan dadah ke tahap terkawal iaitu 400 per 100,000 penduduk” dan “75% Kadar Kekal Pulih bagi klien yang telah menjalani rawatan dan pemulihan dadah” sama ada di fasiliti AADK, KKM dan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian. 

Tambah beliau, AADK telah menggerakkan usaha mengawal permasalahan dadah melalui tiga strategi utama iaitu strategi pencegahan berasaskan model i-Cegah, strategi rawatan dan pemulihan berasaskan model i-Pulih serta strategi penguatkuasaan berasaskan model i-perihatin. 

Katanya lagi, stigma negatif masyarakat terhadap golongan penagih dadah perlu diubah terutamanya terhadap bekas penagih yang akan kembali ke dalam masyarakat setelah menjalani program rawatan dan pemulihan.

"Sokongan masyarakat sekeliling sangat diperlukan oleh golongan ini untuk sentiasa kekal positif dan bersemangat menjauhi gejala penyalahgunaan dadah," ujar beliau lagi.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA

Tiada ulasan