Header Ads

test

Perjuangan memerlukan pengorbanan


Perjuangan memerlukan pengorbanan. Pengorbanan pula merupakan salah suatu elemen penting dalam kehidupan seorang Muslim. Solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain lagi ibadah dalam kehidupan Muslim memerlukan pengorbanan, sama ada kecil atau besar. Ia adalah tindakan yang mencerminkan ketaatan dan keikhlasan kita kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286: لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًۭا كَمَا حَمَلْتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦ ۖ وَٱعْفُ عَنَّا وَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَآ ۚ أَنتَ مَوْلَىٰنَا فَٱنصُرْنَا عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَـٰفِرِينَ ٢٨٦ "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala dari (kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat siksa dari (kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa), 'Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.'" Allah menyatakan kepada kita bahawa Allah sengaja menguji kita dengan sesuatu ujian yang sebenarnya kita boleh depani. Ujian itu adalah untuk memperlihatkan sama ada kita ini benar-benar beriman, rela berkorban atau hanya bercakap-cakap sahaja sepertimana yang dinyatakan Allah dalam surah Al Ankabut: أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتْرَكُوٓا۟ أَن يَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ٢ Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Pengorbanan ini juga diingatkan dalam hadis Rasulullah SAW: "Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya sikap pengorbanan dalam kehidupan seorang Muslim, di mana kita harus sanggup mengorbankan apa yang kita sayang demi kebaikan orang lain dan demi mencapai keredaan Allah. Kisah pengorbanan yang paling hebat dalam sirah ialah kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Allah SWT menguji Nabi Ibrahim dengan perintah untuk mengorbankan anaknya yang sangat disayangi, Nabi Ismail. Kisah ini diabadikan dalam Al-Quran, Surah As-Saffat, ayat 102-107: فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٠٢) فَلَمَّآ أَسْلَمَا وَتَلَّهُۥ لِلْجَبِينِ (١٠٣) وَنَـٰدَيْنَـٰهُ أَن يَـٰٓإِبْرَٰهِيمُ( ١٠٤) قَدْ صَدَّقْتَ ٱلرُّءْيَآ ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ (١٠٥) إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلْبَلَـٰٓؤُا۟ ٱلْمُبِينُ (١٠٦) وَفَدَيْنَـٰهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍۢ( ١٠٧) "Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: 'Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!' Ismail menjawab: 'Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.' Maka tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami panggillah dia: 'Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.'" Pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail adalah contoh paling agung tentang ketaatan dan keikhlasan kepada Allah. Mereka bersedia mengorbankan apa yang paling mereka sayangi demi memenuhi perintah Allah, dan Allah menggantikan pengorbanan itu dengan seekor kibas sebagai tanda rahmat dan kasih sayang-Nya. Refleksi Diri Kisah ini mengajar kita bahawa pengorbanan yang sebenar memerlukan keteguhan iman dan keikhlasan hati. Kita mungkin tidak diuji dengan perintah yang serupa, tetapi setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai bentuk ujian dan peluang untuk berkorban. Sama ada berkorban masa, tenaga, harta, atau perasaan, semuanya adalah tanda ketaatan kita kepada Allah. Sudah pasti pengorbanan yang paling hebat adalah sesuatu yang kita sayang. Sayogia, berkorban dengan apa yang paling kita sayang adalah bukti ketaatan dan cinta kita kepada Allah SWT. Ia adalah tindakan yang memperlihatkan kekuatan iman dan keikhlasan kita dalam memenuhi perintah-Nya. Semoga kita semua diberikan kekuatan untuk berkorban demi kebaikan, dan semoga setiap pengorbanan kita diterima sebagai amal soleh yang diberkati Allah SWT. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 6/19/2024, 9:21:54 AM 

Tiada ulasan