Header Ads

test

PKNK BANGUNKAN PROJEK RUMAH SEJAHTERA UNTUK RAKYAT KEDAH


JITRA - Projek Rumah Sejahtera membuka peluang kepada golongan yang memerlukan untuk memiliki kediaman sendiri dengan harga yang berpatutan.
Menurut Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, rumah jenis Semi-D seluas 750 kaki persegi, yang direka untuk memberikan keselesaan kepada setiap keluarga.
Jelas Muhammad Sanusi, rumah berkenaan dijual dengan harga RM32,000 seunit berbanding kos sebenar sebanyak RM114,086 seunit, jauh lebih rendah daripada harga pasaran.
"Tuan-tuan dan puan-puan yang layak memiliki Rumah Sejahtera ini termasuk dalam kategori mereka yang benar-benar memerlukan rumah sendiri.
”Saya berharap agar pemilikan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membawa keluarga ke arah kehidupan yang lebih baik, memastikan anak-anak dapat belajar dengan tekun, mendapat keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan, dan hidup senang pada masa hadapan," katanya
Beliau bercakap demikian dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Sejahtera Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) Mukim Binjal, Daerah Kubang Pasu, hari ini.
Tambah Muhammad Sanusi, projek ini mendapat sokongan bukan sahaja daripada PKNK, tetapi juga daripada Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan sebanyak RM5,169,900 untuk projek tersebut.
Selain itu, PKNK turut menyumbangkan tanah milik perbadanan seluas 4.67 ekar bagi pembangunan projek itu, jelas beliau lagi.
"Marilah kita sama-sama ucapkan terima kasih kepada PKNK yang telah menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan prinsip ‘Kedah Negeri Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Menabur Bakti," ujarnya
Muhammad Sanusi berharap dengan adanya projek Rumah Sejahtera itu, para penerima dapat menikmati kehidupan berjiran dengan harmoni dan selesa.
"Tuan-tuan sekalian, berlemah-lembutlah dengan jiran, utamakan jiran, hormati jiran, semua orang bersikap seperti ini kampung ini akan menjadi syurga untuk kita semua," katanya.

Tiada ulasan