Header Ads

test

SULTAN KEDAH TITAH KERAJAAN PUSAT LULUS INSENTIF FISKAL RM200 JUTA


SULTAN KEDAH TITAH KERAJAAN PUSAT LULUS INSENTIF FISKAL RM200 JUTA ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menitahkan Kerajaan Pusat meluluskan permohonan insentif fiksal sebanyak RM200 juta kepada Kerajaan Negeri Kedah. Baginda bertitah, peruntukkan itu merupakan satu mekanisme timbal balik setelah negeri Kedah mengekalkan kawasan pertanian penanaman padi bagi memberi manfaat kepada rakyat di negara ini. "Baginda mengharapkan keprihatinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan dapat meluluskan permintaan insentif fiskal sebanyak RM200 juta kepada Kerajaan Negeri Kedah. "Ia merupakan satu mekanisme timbal balik, bila mana kerajaan Beta perlu mengekalkan 113,000 hektar kawasan penanaman padi yang menyumbang 43 peratus Tahap Sara Diri Beras Negara. "Ini adalah kehilangan potensi pembangunan selain pertanian yang boleh menjana hasil negeri yang lebih tinggi," titah Baginda. Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Pingat dan Darjah Kebesaran Kedah Sempena Ulang Tahun Baginda Ke-82 di Istana Anak Bukit, hari ini. Sultan Sallehuddin bertitah, insentif fiskal itu dapat mengimbangi hasil dan perbelanjaan negeri Kedah pada masa hadapan bagi pembangunan sosio-ekonomi. Baginda menjelaskan, melalui insentif itu kerajaan negeri dapat menyediakan program bantuan kepada golongan miskin khususnya bagi membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan. "Di samping itu, ia juga boleh digunakan untuk mengembangkan aktiviti ekonomi seperti menyediakan lebih banyak kawasan perniagaan kepada golongan peniaga dan penjaja kecil. "Dalam usaha ke arah kebajikan dan kesejahteraan rakyat Negeri Kedah, Beta amat gembira apabila kerajaan Beta telah memperuntukkan sejumlah RM11.6 juta pada tahun ini untuk menyediakan pelbagai bentuk program bantuan di bawah Program Bantuan Kedah Sejahtera," titah Baginda. Baginda bertitah, Kerajaan Pusat perlu memberi perhatian kepada permintaan yang telah dibentangkan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor. "Beta yakin, usaha Mamanda Menteri Besar bersama barisan kepimpinan negeri untuk mengeratkan lagi hubungan di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan adalah satu langkah yang amat bijak. "Seperti mana Beta disembah maklum, Mamanda Menteri Besar telah membentangkan senarai wishlist projek-projek pembangunan di Negeri Kedah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah pada 4 Mei yang lalu. "Oleh itu, Beta berharap wishlist yang telah dibentangkan itu mendapat perhatian pihak Kerajaan Persekutuan untuk diambil tindakan segera," titah Sultan Kedah. "Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua" #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 6/30/2024, 1:43:16 PM 

Tiada ulasan