Header Ads

test


 MUZIUM COKLAT NOKONA, PERTAMA DI KEDAH

JITRA - Kedah kini mempunyai tarikan pelancongan baharu dengan penubuhan Muzium Coklat Nokona.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, YB Dato' Haji Mohd Salleh Saidin berkata muzium itu pastinya menjanjikan kelainan kepada khalayak kerana inilah satu-satunya muzium coklat yang terdapat di Kedah.

Malah, menurutnya di seluruh Malaysia sebelum ini hanya ada sebuah muzium coklat iaitu di Kota Damansara.

"Syabas kepada CnW atas keberanian dan kreativiti meneroka idea baharu dan menterjemahkannya menjadi realiti sehingga berdirinya muzium ini. 

"Ia secara langsung menjadi satu produk baharu yang pasti memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di negeri Kedah yang kita cintai ini," ujarnya ketika merasmikan Muzium Coklat Nokona di sini, hari ini.

Jelasnya lagi ia bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperbanyak dan mempelbagaikan sumberjaya pelancongan terutamanya menjelang Tahun Melawat Kedah 2025.

Beliau turut dimaklumkan bahawa CnW turut merancang untuk mewujudkan Route Cocoa Kedah yang bertindak sebagai serampang dua mata iaitu membantu menambahkan pendapatan petani dan meningkatkan hasil pelancongan.

"Ia satu lagi idea yang baik, dan saya tidak teragak-agak untuk menyokongnya.

"Kerajaan Negeri pada bila-bila masa pun menggalakkan inisiatif-inisiatif yang kreatif seperti ini," katanya.

Beliau turut menyeru usahawan dan bakal usahawan, khususnya di Kedah ini supaya sentiasa kreatif dan inovatif kerana dalam dunia perniagaan masa kini, kedua-duanya adalah kunci utama kejayaan.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA

Tiada ulasan