KEDAH KOMITED TANGANI MURID BERISIKO KECICIRAN
KEDAH KOMITED TANGANI MURID BERISIKO KECICIRAN LANGKAWI - Kerajaan negeri Kedah sangat komited untuk melakukan penambahbaikan dalam pengesanan awal murid berisiko keciciran melalui program Penyelidikan Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPaS). Menurut Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, YB Dato' Ustaz Mohd Azam Abd Samat, selepas pandemik COVID-19, cabaran yang harus ditangani oleh pengajian persekolahan peringkat menengah adalah memastikan tiada risiko tercicir dalam kalangan pelajar khususnya dalam peperiksaan SPM. "Bagi program ini, pihak kerajaan negeri dan urusetia telah memilih dua buah sekolah iaitu SMK Ayer Hangat dan SMK Kelibang dari Langkawi sebagai sekolah yang terpilih melalui program kompas ini bermula 2021 hinggalah sesi 2024," ujarnya ketika merasmikan Seminar Pemerkasaan Pemimpin Komuniti Dalam Menangani Isu Pelajar Tercicir di Negeri Kedah bertempat di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, hari ini. Tambahnya, seminar itu tidak hanya bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pemimpin komuniti, tetapi juga untuk membuka ruang antara pelbagai pemegang taruh dalam pendidikan demi mencapai tujuan bersama iaitu membantu menangani isu keciciran murid di negeri Kedah. Jelas beliau lagi, usaha itu bukan sahaja tertumpu kepada strategi untuk memperkasakan budaya pendidikan, tetapi juga untuk meningkatkan kualiti pendidikan yang diselaraskan dengan keperluan sesebuah sekolah itu khususnya. Katanya, pemimpin dalam komuniti berperanan penting untuk bekerjasama membantu pihak sekolah melalui pengetahuan yang mereka ada mengenai keadaan setempat dan keperluan khusus masyarakat di tempat mereka. "Pemimpin komuniti di negeri Kedah, dengan pemahaman unik mereka mengenai keadaan setempat adalah aset berharga dalam usaha menjadikan sistem pendidikan kita berwawasan," ujar beliau. "Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua" #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 7/29/2024, 12:07:38 PM
Post a Comment