Header Ads

test

KEDAH PERKENAL TARIKAN PELANCONG TANAH BESAR


GURUN - Kerajaan negeri Kedah mengambil langkah proaktif mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan di tanah besar negeri itu sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Menteri Besar, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata industri pelancongan sebelum ini lebih tertumpu di Langkawi.
"Sebenarnya kita ada banyak tarikan termasuk yang dekat dengan kita sekarang ini iaitu Gunung Jerai. Kita ada hotel Jerai Hill Resort di puncak sana yang sangat sesuai untuk dikunjungi bersama keluarga untuk menikmati pemandangan indah bendang yang luas terbentang hingga dan laut Selat Melaka," katanya
Beliau berucap demikan ketika merasmikan program Jerai Scooter Day 2.0 di Taman Perwaja, di sini.
Sanusi juga mengingatkan tentang sejarah agung Kedah, di mana Gunung Jerai pernah menjadi pusat pentadbiran kerajaan besar yang menerajui industri besi dunia.
"Di sanalah diadakan pusat pentadbiran sebuah kerajaan besar yang menerajui industri besi di dunia ini 700 tahun sebelum Masihi," katanya.
Kata beliau lagi, "Kerajaan Negeri sememangnya serius dalam usaha meningkatkan kemudahan pelancongan dengan aset-aset tarikan yang kita ada di Tanah Besar Negeri Kedah ini."
Beliau turut mengajak rakyat Kedah untuk menghidupkan semula kebanggaan sejarah.
"Kita harus bangkitkan semula keagungan dan kehebatan sejarah Kedah. Saya menyeru kepada seluruh rakyat Kedah, tanpa mengira bangsa dan keturunan, untuk bersama-sama menghidupkan semula kebanggaan sejarah ini dari sekarang ke tahun-tahun mendatang, InsyaAllah," katanya.
Beliau turut memuji usaha penganjur mempromosikan negeri Kedah melalui acara riadah itu yang berjaya menghimpunkan pemilik-pemilik skuter terbesar di Kedah.
"Saya benar-benar tertarik dengan acara ini kerana ia bukan sahaja dianjurkan sebagai satu program riadah menghimpun pemilik-pemilik motosikal skuter yang terbesar diadakan di Kedah tetapi juga atas daya usaha pihak penganjur untuk mempromosikan Kedah sempena Tahun Melawat Kedah 2025," jelas beliau.

Tiada ulasan