KONTINJEN KEDAH SIAP SIAGA HADAPI SUKMA XXI
ALOR SETAR – Kontinjen Kedah bertekad untuk pulang dengan kejayaan dari Sukan Malaysia (SUKMA) XXI di Sarawak.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, YB Muhammad Radhi Md Din berkata ia adalah usaha untuk menyahut seruan ‘The Greater Kedah’ dalam menjadikan Kedah sebagai negeri yang lebih cemerlang dalam bidang sukan.
"Sebagai Exco Sukan, saya ingin melihat sukan di Kedah berjaya dan membawa nama negeri ke tahap yang lebih tinggi.
"Saya berharap para pengurus sukan dapat memberi semangat kepada atlet kita untuk menyambut seruan kerajaan ini," katanya di dalam satu perjumpaan Ketua Kontijen Negeri bersama para pengurus pasukan di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Beliau juga mengharapkan kehadiran kontinjen Kedah di Sarawak nanti bukan sahaja untuk bersaing tetapi juga membawa imej yang besar dan positif bagi negeri Kedah.
"Sasaran kita adalah untuk menjadi antara 10 negeri terbaik dalam SUKMA nanti dan saya yakin kita mampu mencapainya," tambahnya dengan penuh keyakinan.
Kontinjen Kedah diharapkan akan berusaha dengan gigih dan membawa pulang kejayaan yang membanggakan negeri.
Sementara itu, Ketua Kontinjen SUKMA XXI negeri Kedah, Dato' Mohd Fauzi Mustaffa menegaskan pentingnya kerjasama erat dan komunikasi yang baik antara semua pihak bagi memastikan kejayaan kontinjen Kedah di SUKMA nanti.
“Kita perlu bersatu padu dan bekerja sebagai satu pasukan untuk mencapai kejayaan. Setiap ahli pasukan perlu memberi komitmen yang tinggi dan bersedia untuk menghadapi segala cabaran,” kata Fauzi.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 383 atlet diiringi 97 jurulatih, 38 pengurus, 36 urusetia dan 20 pegawai tambahan bakal menggalas cabaran ke sukan dwi tahunan itu.
“Kedah Sejahtera Untuk Semua”
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
Post a Comment