Header Ads

test

MAAL HIJRAH 1446 HIJRAH: PENGHAYATAN DAN PENGAJARAN DALAM KONTEKS SEMASA




Maal Hijrah, atau juga dikenali sebagai Awal Muharram, menandakan permulaan tahun baru dalam kalendar Islam. Pada tahun 1446 Hijrah ini, umat Islam di seluruh dunia mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah. Peristiwa ini bukan sekadar perpindahan fizikal tetapi membawa makna yang mendalam dari segi spiritual, sosial, dan politik.

Hijrah Rasulullah SAW disebut dalam beberapa ayat Al-Quran, seperti dalam Surah At-Taubah ayat 40:

إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ ٱللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ثَانِىَ ٱثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِى ٱلْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَـٰحِبِهِۦ لَا تَحْزَنْ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِينَتَهُۥ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُۥ بِجُنُودٍۢ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلسُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ ٱللَّهِ هِىَ ٱلْعُلْيَا ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad), sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika orang kafir (musyrik Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya (Muhammad) dan membantunya dengan tentara (malaikat) yang kamu tidak melihatnya, dan Al-Quran menjadikan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."_ (At-Taubah: 40).

Rasulullah SAW bersabda:

فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله ، فهجرته إلى الله ورسوله ، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها ، أو امرأة ينكحها ، فهجرته إلى ما هاجر إليه

"Barangsiapa berhijrah karena Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya; dan barangsiapa berhijrah karena dunia yang ingin didapatkannya atau karena seorang wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan."

Peristiwa hijrah dimulai dengan perencanaan rapi oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Mereka berhijrah bukan kerana takut atau lemah, tetapi kerana strategi dakwah yang lebih luas di Madinah. Di antara kisah menarik ialah saat Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar r.a. bersembunyi di Gua Tsur. Kaum Quraisy yang mengejar mereka hampir menemui tempat persembunyian mereka, namun Allah SWT melindungi mereka menyebabkan kaum Quraisy menyangka gua itu tidak mungkin dijadikan tempat persembunyian. Ketika itu, ada labah-labah telah membuat sarangnya di pintu gua dan burung merpati membuat sarangnya serta bertelur di situ, menjadikan gua itu kelihatan tidak mungkin dijadikan tempat persembunyian. Ini adalah salah satu mukjizat yang Allah SWT kurniakan untuk melindungi Rasul-Nya.

Setelah menempuh perjalanan yang panjang dan mencabar, Rasulullah SAW dan para sahabat akhirnya tiba di Madinah. Penduduk Madinah yang terdiri daripada kaum Ansar menyambut mereka dengan penuh kegembiraan dan keikhlasan. Kaum Ansar memberikan bantuan tempat tinggal, makanan, dan keperluan lain kepada kaum Muhajirin (orang-orang yang berhijrah dari Mekah). Rasulullah SAW kemudian mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar, membina ukhuwah dan solidariti yang kuat dalam kalangan umat Islam di Madinah.

Pengajaran Penting dari Peristiwa Hijrah

1. Kepentingan Strategi dan Perancangan

Hijrah menunjukkan betapa pentingnya perancangan dan strategi dalam mencapai matlamat. Rasulullah SAW tidak bertindak secara impulsif tetapi dengan perancangan yang teliti. Ini mengajar kita bahawa dalam apa jua usaha, sama ada dalam konteks peribadi, organisasi, negeri atau negara, perancangan yang rapi adalah kunci kejayaan.

2. Pengorbanan dan Kesungguhan

Para sahabat yang berhijrah meninggalkan harta benda dan kampung halaman mereka demi agama. Ini mengajar kita tentang nilai pengorbanan dan kesungguhan dalam mencapai sesuatu yang lebih baik. Pengorbanan membawa makna keluar dari keselesaan. Kejayaan tidak datang kepada mereka yang duduk selesa. Ia datang kepada mereka yang berani untuk keluar dari zon selesa, berusaha berhempas pulas, menghadapi ketidakpastian, dan berusaha lebih dari orang lain. 

3. Persaudaraan dan Solidariti

Setibanya di Madinah, Rasulullah SAW mempersaudarakan antara Muhajirin (kaum yang berhijrah dari Mekah) dan Ansar (penduduk Madinah). Ini menciptakan masyarakat yang bersatu padu dan kuat. Dalam dunia yang sering kali dilanda perpecahan dan ketegangan, konsep persaudaraan ini amat relevan untuk kita amalkan demi keharmonian dan kesejahteraan bersama. Bahkan dalam konteks kita yang sedang bergerak laju menuju “The Greater Kedah”, kita anak Kedah perlu bersatu padu untuk memajukan negeri yang kita cintai ini mengikut siapa dan di mana kita berada sekarang. 

Maal Hijrah 1446 Hijrah adalah satu peringatan penting bagi umat Islam untuk merenung kembali peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan menghayati pengajarannya. Dalam konteks semasa, hijrah bukan hanya perpindahan fizikal tetapi juga hijrah diri, masyarakat, dan negeri ke arah yang lebih baik. Dengan mengambil iktibar dari peristiwa hijrah, kita boleh membina kehidupan yang lebih baik, bersatu padu, dan berjaya dalam menghadapi cabaran masa kini dan akan datang. Semoga semangat hijrah sentiasa menyinari kehidupan kita, dan kita sentiasa diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk berhijrah ke arah kebaikan.

Penulis merupakan Timbalan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Aman - UPDA

Tiada ulasan