Header Ads

test

Naik Taraf LRA Akan Siap Ikut Jadual


ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah akan memastikan projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) di negeri itu disiapkan mengikut jadual meskipun menghadapi beberapa cabaran dan kelewatan.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kedua-dua projek itu telah diberikan dua kali lanjutan masa (EOT).
“Permohonan untuk tambahan masa ini akan diproses oleh jabatan teknikal, bukan negeri. JKR akan proses dari segi harga, peningkatan barang, dan pentadbiran tanah,” katanya dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) di Wisma Darul Aman.
Sanusi menegaskan bahawa kontraktor yang terlibat akan dikenakan denda sekiranya gagal menyiapkan projek dalam tempoh yang diberikan.
“Di Sungai Limau, projek perlu diserahkan pada Januari 2025, dengan denda harian sebanyak RM13,000 jika lewat.Manakala di Bukit Selambau, EOT diberikan sehingga April 2025, dan denda harian sebanyak RM25,000 akan dikenakan jika projek tidak disiapkan dalam tempoh tersebut.
“Sebab itu saya kata, mana ada kontraktor buat kerja nak kena denda. Mesti dia ligan sehabis baik supaya dia tak kena denda," tambah beliau.
Beliau juga menyatakan bahawa kenaikan harga bahan binaan yang melebihi kadar yang diluluskan dalam tender merupakan salah satu masalah utama yang dihadapi oleh kontraktor.
"Keputusan tender dibuat pada tahun 2019 kepada semua syarikat. Selepas itu, berlaku peningkatan harga barang. Akibat COVID-19, harga barang naik empat kali," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Sanusi memaklumkan penangguhan Pelancaran Tahun Melawat Kedah 2025 yang pada asalnya dijadualkan pada bulan Julai.
Pelancaran tersebut akan diadakan pada bulan Ogos kerana bertembung dengan pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
“Pelancaran Tahun Melawat Kedah kita jadualkan bulan tujuh tetapi diinjakk ke bulan lapan kerana bertembung dengan pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, jadi diinjakk ke bulan Ogos di Kuala Lumpur,” ujar beliau.

Tiada ulasan