NCIA GIAT LAKSANAKAN DUA PROJEK PENTING DI KEDAH
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, YB Dato' Haji Mohd Salleh Saidin menerima kunjungan hormat daripada pegawai-pegawai Pihak Berkuasa
Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang memberi taklimat mengenai dua projek utama yang sedang dijalankan oleh NCIA di Kedah pada masa ini.
Projek yang pertama adalah Projek Peningkatan Kemudahan Pelancongan Mong Gajah Tasik Pedu, Padang Terap iaitu salah satu inisiatif ke arah memperkasakan lagi sektor pelancongan di Negeri Kedah.
Projek yang akan bermula pada hujung tahun 2024 dan dijangka siap pada akhir 2025 ini berkonsepkan untuk mewujudkan kawasan rekreasi terbuka dengan kemudahan asas yang sesuai untuk penduduk setempat dan pengunjung menikmati khazanah alam.
Projek ini tentunya memberi nilai tambah kepada Tasik Pedu yang sedia terkenal itu, sekali gus menjadikannya sebagai antara Destinasi Ekopelancongan Panoramik terulung di negara ini.
Beliau turut diberi taklimat mengenai Projek Integrated Economic And Community Centre (ICON) di Daerah Yan dan Baling yang sedang berjalan sekarang.
Projek tersebut bertujuan memacu ekonomi dan keusahawanan tempatan serta merapatkan jurang bandar-luar bandar juga mampu mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan dan memberi manfaat kepada lebih 100 pengusaha SME, selain akan menjadi tarikan baharu ke kedua-dua daerah itu.
ICON Yan dijadualkan beroperasi pada bulan Februari 2025, manakala ICON Baling pula pada Mei 2025.
Beliau yakin projek-projek berkenaan akan memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi negeri Kedah, termasuk sektor pelancongan dan keusahawanan.
Delegasi diketuai oleh Penolong Pengurus Besar NCIA Kedah dan Perlis, Suhaila Mohd Nazer; Pengurus Perancangan Strategik, Muhammad Soleh Mohamed Ramli dan dua Pegawai Kanan Perancangan Strategik, Nadzirah Kamaruddin dan Nor Hazwan Hadzir.
Turut hadir Penolong Pegawai Perancang Bandar Majlis Daerah Padang Terap, Nur Aishah Ishak dan Ketua Unit Pentadbiran dan Pembangunan Prasarana Motac Kedah, Siti Hajar.
“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
Post a Comment