PUSAT PENERANGAN PELANCONGAN ALOR SETAR RANCAKKAN TMK 2025
PUSAT PENERANGAN PELANCONGAN ALOR SETAR RANCAKKAN TMK 2025 ALOR SETAR - Penubuhan Pusat Penerangan Pelancongan Alor Setar dilihat mampu membantu merancakkan industri pelancongan di negeri Kedah khususnya menjelang Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, YB Dato' Haji Mohd Salleh Saidin menaruh keyakinan penuh Pusat Penerangan Pelancongan ini dapat memberikan maklumat berkaitan dengan pelancongan yang lebih baik kepada para pelancong, sekali gus menyokong usaha-usaha promosi pelancongan yang sedang giat dijalankan. Menurutnya, menyediakan sebaik-baik maklumat mengenai perniagaan atau perkhidmatan bukan sahaja menjadi kemestian, tetapi menjadi perlumbaan dalam pemain-pemain industri pelancongan. Tambah beliau, iniasiatif menubuhkan Pusat Penerangan ini merupakan langkah bijak yang bertepatan dengan keperluan semasa kerana melaluinya maklumat-maklumat mengenai Bandaraya Alor Setar dan Negeri Kedah dapat ketengahkan untuk diakses oleh khalayak sasaran, khususnya pelawat dan pelancong. "Kalau di Kedah ni, nak apa boleh dikatakan semuanya ada. Kalau di Arab ada gurun, kita pun ada Gurun juga. Di Alor Setar ni pula, memang tak dak salji, tapi kita ada Lorong Kilang Ais. Jangan main-main," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Dan Pelancaran Pusat Penerangan Pelancongan Alor Setar bertempat di Medan Bandar, di sini hari ini. Jelasnya, kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi serta sokongan para pemain industri bekerja keras membuat persiapan bagi memastikan TMK 2025 bukan sahaja berjaya, tetapi juga meletakkan penanda aras baharu dalam industri pelancongan di negeri ini. Kata beliau, Kedah Tourism ditubuhkan semula sebagai menjadi penggerak utama bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk merasai keunikan dan keindahan negeri Kedah dalam pelbagai aspek, termasuklah alam semulajadi, budaya, makanan serta hospitaliti masyarakat setempat. "Saya juga menyeru kepada semua pihak supaya memastikan aspek kebersihan dan keindahan sentiasa berada pada tahap terbaik, serta menjadi agenda penting setiap Pihak Berkuasa Tempatan. "Seboleh-bolehnya biarlah kebersihan dan keindahan bandar-bandar dan desa di negeri ini menjadi salah satu 'produk' yang boleh menggamit kehadiran pelancong," katanya lagi. #UPDA #UrusSetiaPeneranganDarulAman -UPDA 7/21/2024, 11:43:40 AM
Post a Comment