Header Ads

test

SULTAN KEDAH SERU UMAT ISLAM HAYATI KONSEP HIJRAH




ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menyeru umat Islam untuk menghayati dan memahami konsep hijrah dengan sebenar-benarnya.

Baginda menekankan betapa pentingnya hijrah bukan sahaja sebagai satu peristiwa sejarah malah panduan dalam merencana kehidupan yang lebih baik. 

Tema Maal Hijrah tahun ini, 'Al-Falah, Pemacu Malaysia Madani' titah baginda diangkat untuk mencerminkan aspirasi mencapai kejayaan dan kesejahteraan dalam semua aspek kehidupan.

Sultan Kedah mengingatkan bahawa penghijrahan memerlukan strategi serta perancangan yang berkualiti dengan penglibatan setiap individu dan ahli keluarga. 

"Kita perlu memastikan bahawa setiap langkah kita dirancang dengan teliti dan disokong oleh nilai-nilai Islam yang kukuh," titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Majlis Perhimpunan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Darul Aman di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini hari ini. 

Pendidikan yang menyeluruh turut ditekankan sebagai kunci untuk membentuk ummah yang berkualiti. 

Baginda menyarankan agar pendidikan melibatkan fardhu ‘ain, fardhu kifayah dan teknologi maklumat supaya umat Islam dapat mengimbangi antara keperluan duniawi dan ukhrawi. 

Selain itu, Tuanku Sultan Kedah juga menyeru umat Islam untuk memperkukuh asas kerohanian mereka agar tidak mudah terpengaruh dengan godaan hawa nafsu. 

Baginda menekankan pentingnya perpaduan sebagai asas utama untuk memakmurkan diri, masyarakat, dan negara. 

"Kita harus menjaga perpaduan dan persaudaraan, serta menghindari perpecahan yang hanya akan merugikan kita semua," titah Baginda lagi.

Baginda turut mengingatkan agar umat Islam tidak mengorbankan jati diri demi kuasa, kekayaan, pangkat, atau populariti. 

Dalam majlis yang sama, Sultan Kedah perkenan menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah dan Masjid Terbaik bagi kategori Masjid Bandar dan Luar Bandar.

Mantan Imam Besar Masjid Negara, Dato' Haji Taib Azamudden Md Taib dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah tahun 1446 Hijrah. 

Sementara Anugerah Masjid Terbaik) Kategori Bandar dimenangi oleh Masjid Tunku Sallehuddin Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani dan Masjid Terbaik Kategori Luar Bandar pula dianugerahkan kepada Masjid Nurul Iman, Gulau, Sik.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA

Tiada ulasan