EXCO KEDAH MOHON HDC BERI PENGIKTIRAFAN KEPADA KEDAH HALAL PARK
EXCO KEDAH MOHON HDC BERI PENGIKTIRAFAN KEPADA KEDAH HALAL PARK ALOR SETAR - Exco Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato' Ustaz Mohd Azam Abd Samat membangkitkan isu Kedah Halal Park (KHP) yang masih tidak mendapat pengiktirafan daripada Halal Development Corporation (HDC). Beliau membangkitkan isu tersebut ketika Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Penambahbaikan Taman Industri Halal mewakili Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur, semalam. "Dengan tidak mendapat pengiktirafan ini Kedah tidak dimasukan dalam Taman Perindustrian Halal. "Saya memohon pihak Kerajaan Pusat khususnya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama HDC dapat membantu Kedah Halal Park mendapat pengiktirafan supaya dapat membantu 42 usahawan atau syarikat yang berada di Kedah Halal Park dapat pengecualian cukai dan bantuan-bantuan lain," jelas beliau dalam satu kenyataan. Beliau memaklumkan, KHP yang diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) ini ditubuhkan pada tahun 2012 ketika zaman Allahyarham Ustaz Tan Sri Dato' Seri Diraja Haji Azizan Abdul Razak dan telah beroperasi sepenuhnya pada 2016. "Terdapat 42 lot dan syarikat yang berada di KHP ini antaranya Al Hadad, Emzee dan banyak lagi syarikat atau usahawan yang berasaskan makanan,kosmetik dan lain-lain lagi. "Saya mengharapkan agar pengiktirafan ini dapat diberikan demi membantu para usahawan di negeri Kedah," ujarnya. Dalam perkembangan yang sama, beliau memaklumkan terdapat 11 peratus sahaja daripada keseluruhan 14 Taman Industri Halal yang dibangunkan sejak 2009 mencapai matlamat penubuhannya. #ExperienceKedah #TheGreaterKedah #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 8/28/2024, 5:29:43 PM
Post a Comment