KEDAH LAKUKAN PERSEDIAAN AWAL HADAPI MUSIM KEMARAU TAHUN 2025
KEDAH LAKUKAN PERSEDIAAN AWAL HADAPI MUSIM KEMARAU TAHUN 2025 ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah sedang mengambil langkah awal bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk menghadapi musim kemarau yang dijangka lebih panjang pada tahun 2025. Semua empangan di negeri itu akan menyimpan air secara maksimum bagi menambah kapasiti takungan. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, YB Haji Mohamad Yusuf@Munir Haji Zakaria berkata, merujuk kepada Laporan Tinjauan Cuaca Jangka Panjang dari Jabatan Meterologi Malaysia, bermula Ogos 2024 hingga Disember 2024, kadar turunan hujan berada di paras purata antara 220mm ke 330mm sebulan. Jelasnya, bagi pelan jangka masa pendek, pihak Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) telah mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) bagi Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan. "OPA telah dilaksanakan pada 29 hingga 31 Julai 2024 melibatkan kawasan tadahan Empangan Muda dan Empangan Pedu. "Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan bagi meningkatkan kapasiti simpanan empangan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab sesi pertanyaan mulut di Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Ke-15 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini. Tambah beliau, bagi pelan jangka masa panjang, LSANK telah memohon kepada Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) bagi Cadangan Pembangunan Kolam Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) melalui Rancangan Malaysia ke-12. Katanya lagi, terdapat 27 tapak di Lembangan Sungai Muda yang telah dikenalpasti berpotensi untuk dibangunkan. Menurut beliau, melalui RMK-12, terdapat tiga cadangan pembangunan kolam TAPS di sepanjang Lembangan Sungai Muda dan satu di Lembangan Sungai Kedah. "Pihak LSANK merancang untuk mengemukakan lagi permohonan dalam RMK-13 untuk pembangunan TAPS dan Empangan Rendah di sepanjang Lembangan Sungai Muda. "Pembangunan empangan rendah berhampiran dengan muka sauk Loji Rawatan Air akan membantu meningkatkan paras air di kawasan muka sauk pada musim kemarau dan membantu mengurangkan gangguan terhadap operasi Loji Rawatan Air," katanya. #SidangDunKedah #experiencekedah #thegreaterkedah -UPDA 8/26/2024, 11:23:57 AM
Post a Comment