Header Ads

test

KEDAH PERKUKUH KEDUDUKAN MAHKAMAH SYARIAH


KEDAH PERKUKUH KEDUDUKAN MAHKAMAH SYARIAH ALOR SETAR - Kedah menjadi negeri kedua selepas Terengganu yang mengambil langkah nekad dan berani untuk memasukkan Mahkamah Syariah ke dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. ADUN Pengkalan Kundor, YB Mardhiyyah Johari berkata, meletakkan Mahkamah Syariah di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah adalah satu langkah penghormatan terhadap institusi perundangan syariah serta satu langkah mustahak untuk melindunginya dari cubaan ganggu gugat pada masa hadapan. "Jika kewujudan Mahkamah Sivil ada dicatat di dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan, kukuh dan terlindung, maka begitulah situasinya dengan Mahkamah Syariah yang perlu ada tercatat di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. "Jika tidak, hal ini akan menyebabkan perbandingan medium penubuhan yang tidak seimbang antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah dan Rang Undang-Undang Enakmen Mahkamah Syariah di Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Mesyuarat Kedua Penggal Kedua di Wisma Darul Aman di sini, hari ini. Jelas beliau lagi, Kedah harus menjadi contoh terbaik di dalam usaha mengharmonikan pertembungan antara Mahkamah Sivil dan Syariah. "Justeru itu lah, usaha memperkasakan Mahkamah Syariah mesti dibuat seiring dengan pemerkasaan Mahkamah Sivil agar seimbang pemerkasaannya. "Jangan hanya satu sistem perundangan sahaja sentiasa ditambah baik, namun satu sistem lagi dibiar tertinggal jauh di belakang. Kita mesti padamkan stigma sistem perundangn syariah sebagai sistem perundangan kelas kedua dan kita cegah pertikaian punca kuasa kewujudan Mahkamah Syariah," tegas Mardhiyyah. Katanya, pemerkasaan ini bertepatan dengan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk kerajaan menekankan pemerkasaan Undang-Undang Syariah di Kedah. #SidangDunKedah #experiencekedah #thegreaterkedah -UPDA 8/25/2024, 9:10:02 PM 

Tiada ulasan