KEDAH TEGAS PERANGI RASUAH
CHINA – Kedah komitmen membanteras rasuah dan memupuk ketelusan tadbir urus menerusi Inisiatif Jalur & Laluan (Belt & Road Initiative).
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam dan NGO, YB Wong Chia Zhen berkata, inisiatif ini dilaksanakan dengan mengambil langkah-langkah penting ke arah reformasi struktur yang menyeluruh untuk membanteras rasuah.
“Sejajar dengan prinsip-prinsip tahap tinggi mengenai Pembinaan Integriti Belt and Road yang memandu perbincangan hari ini, Kedah berjanji untuk menyokong pendidikan anti-rasuah, penyelidikan dan pembangunan kapasiti.
“Kerajaan negeri komited untuk membangunkan kerjasama dengan organisasi antarabangsa dan institusi akademik untuk berkongsi amalan terbaik dan memupuk persekitaran bebas rasuah,” ujarnya.
Beliau berkata demikan ketika Simposium Pembinaan Integriti "Belt and Road" yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pengawasan Wilayah Yunnan, China (National Supervisory Commission) mewakili Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, baru-baru ini.
Katanya lagi, kerajaan negeri turut menggalakkan syarikat-syarikat di Kedah untuk menubuhkan sistem pengurusan integriti dan pematuhan yang berkesan, berpandukan amalan terbaik antarabangsa.
“Kerajaan negeri berdedikasi untuk memastikan bahawa dasar pembangunan negeri di bawah BRI sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs), mempromosikan kesejahteraan masyarakat sambil mengekalkan tahap integriti tertinggi,” jelas beliau lagi.
Beliau menegaskan kerajaan negeri memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memerangi rasuah terutamanya dalam konteks hari ini dengan Inisiatif Belt and Road.
“Ketika kita maju dengan Inisiatif Belt and Road, mari kita lakukannya dengan komitmen serius terhadap integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
“Bersama-sama kita boleh membina masa depan di mana pembangunan tidak dihalang oleh rasuah tetapi didorong oleh nilai-nilai bersama kepercayaan dan tadbir urus yang beretika,” jelasnya lagi.
#TheGreaterKedah#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA
Post a Comment