Header Ads

test

THE GREATER KEDAH: MISI BESAR TMK 2025



KUALA LUMPUR - Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 dilihat sebagai lonjakan strategik dalam mencapai agenda ‘The Greater Kedah’.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, YB Dato' Haji Mohd Salleh Saidin menegaskan bahawa TMK 2025 harus menjadi misi besar untuk memperkasakan sektor pelancongan negeri secara menyeluruh. 

“Sebab itulah TMK 2025 memberikan fokus khusus kepada usaha merancakkan pelancongan di Tanah Besar Kedah di samping meneruskan usaha mengangkat Pulau Langkawi yang sedia tersohor itu ke mercu yang lebih gemilang.

“Pelbagai inisiatif sedang dirancang dan pelbagai langkah sedang diambil untuk menarik kedatangan seramai mungkin pelawat dan pelancong ke kesemua 11 daerah di Tanah Besar Kedah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan Pelancaran Kempen Tahun Melawat Kedah 2025 yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya lagi, TMK 2025 memilih tema ‘Experience Kedah’ bertepatan dengan hasrat untuk memberi pengalaman berharga kepada setiap pelancong.

“Kami mahu kehadiran ke Kedah, bukan hanya untuk melihat, tetapi untuk meneroka, merasa dan menikmati kelebihan dan keunikan yang ditawarkan oleh negeri di mana terdapatnya bandar Alor Setar yang lebih tua daripada Washington dan Sydney.

“Di Kedah juga di mana terletaknya Masjid Zahir, salah satu daripada 10 masjid tercantik di dunia. Negeri yang kerajaannya bermula dengan Merong Mahawangsa, yang walaupun berstatus pseudo sejarah namun kesan kehebatannya sukar dipertikai dan payah disanggah,” jelas beliau lagi.

Beliau berharap TMK 2025 ini dapat mengembalikan kegemilangan Kedah yang suatu ketika dahulu pernah menjadi tumpuan dari pelosok dunia.

 “Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA

Tiada ulasan