ANAK KEDAH HEBAT 2024 PERKASA PEMBANGUNAN RAKYAT
SIK – Kerajaan negeri amat menitikberatkan aspek pembangunan modal insan dalam memperkasa individu dan komuniti di Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, YB Dato’ Ustazah Hajah Siti Ashah Haji Ghazali berkata, usaha ini dibuat untuk melahirkan individu bermatlamatkan ‘the greater Kedah’ bagi menerajui negeri Kedah suatu masa nanti.
“Kita didik anak-anak hari ini, bukan untuk kita tunai esok atau lusa, tetapi hasilnya kita akan tunai lima atau 10 tahun lagi.
“Pihak Kerajaan menerusi pembangunan insan melihat anak-anak ini sebagai aset negara yang akan menjadi pimpinan pada masa hadapan. Kita tak tahu masa hadapan kita, tetapi kita perlu membuat acuan yang hebat untuk menerajui negara suatu hari nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan Perasmian Penutup Program Anak Kedah Hebat 2024 "Kembara Alam Semulajadi & Sejarah The Greater Kedah" yang berlangsung di KEDA Resort, Bendang Man, di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan para peserta untuk menjadi hebat bukan sahaja dari segi akademik malah perlu mempunyai akhlak dan moral yang baik seiring dengan peredaran zaman.
“Saya berdoa semoga program ini menjadi platform terbaik untuk menggilap potensi setiap anak Kedah, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
“Marilah kita bersama-sama memastikan bahawa masa depan negeri kedah berada di tangan generasi muda yang berwawasan, berilmu, dan berintegriti,” katanya lagi.
Hadir sama, Ahli Parlimen Baling, YB Ustaz Hassan Saad; ADUN Belantik, YB Haji Ahmad Sulaiman; Pengarah Sekretariat Pembangunan Insan Negeri Kedah, Ustaz Nasrun Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah, Ustaz Mohamad Ismail dan Pengerusi Ummu Aisyah Care, Ustazah Haryati Mohd Mokhtar.
“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”
#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA#TheGreaterKedah #ExperienceKedah
Post a Comment