Header Ads

test

KEDAH JAMIN AGIHAN SEGERA BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR


KEDAH JAMIN AGIHAN SEGERA BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR ALOR SETAR – Peruntukan sebanyak RM3.5 juta akan diagihkan kepada seluruh mangsa banjir seramai 3,517 keluarga melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) mengikut daerah. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa pengagihan bantuan banjir akan disalurkan kepada semua isi rumah yang terkesan dengan banjir. Tambahnya, sebahagian besar sumbangan telahpun diserahkan kepada Pusat Pemindahan Sementera (PPS). "Sumbangan sebanyak RM1,000 daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan telah diuruskan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan kebanyakannya telahpun disampaikan melalui kaedah ICU. "Untuk isi rumah yang belum menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri, kita akan salurkan kepada pegawai daerah dan sebahagiannya telahpun diserahkan" jelas beliau ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini. Jelasnya lagi, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) turut bersetuju untuk memperuntukkan kos bagi membaik pulih rumah yang memerlukan kos baik pulih tidak melebihi RM15,000. Mengulas lanjut kata Muhammad Sanusi, dana melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan digunakan untuk membantu membaik pulih rumah sekitar 200 buah yang memerlukan kos baik pulih melebihi RM15,000. Katanya, Kedah kini berada di fasa akhir bencana banjir dan perlu bersedia menghadapi masalah melalui pasca banjir. Sanusi berkata, beberapa projek akan disegerakan mengikut keperluan semasa selaras dengan projek tebatan banjir yang sedang diusahakan di daerah Pendang. "Pembaikan infrastruktur, kerosakan titi yang tidak selamat untuk dilalui dan tebing runtuh akan dilaksanakan serta perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #MBKedah -UPDA 9/25/2024, 11:00:58 PM 

Tiada ulasan