KEDAH KE ARAH KEHIDUPAN SEJAHTERA DAN BERDAYA HUNI
KEDAH KE ARAH KEHIDUPAN SEJAHTERA DAN BERDAYA HUNI SUNGAI PETANI - Kerajaan Negeri Kedah berusaha memperkukuhkan kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai inisiatif berteraskan Islam dan pembangunan mampan. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Nor, berkata matlamat kerajaan adalah untuk memastikan Kedah menjadi negeri yang 'sejahtera dan berdaya huni' menjelang 2035. Katanya, kesejahteraan sebenar bukan hanya terletak pada kekayaan material tetapi juga perlu berasaskan keseimbangan rohani. "Ramai yang salah anggap bahawa kekayaan harta benda menjamin kebahagiaan, namun kebahagiaan sebenar adalah apabila kita mampu mencapai ketenangan dalam hati, sebagaimana diajar dalam Islam," katanya ketika Majlis Penutupan Festival Insan Sejahtera di Masjid Tunku Sallehuddin Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani. Beliau turut menegaskan bahawa visi Kedah Sejahtera & Berdaya Huni yang menjadi teras pembangunan negeri itu mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat. "Dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 sebagai misi gagasan The Greater Kedah, kita meletakkan Kedah Sejahtera & Berdaya Huni sebagai visi dengan matlamat mahu menjadikan negeri ini negeri yang sejahtera untuk semua penghuninya. "Berdaya huni atau liveable membawa maksud Kerajaan mahu menjadikan negeri ini selamat untuk semua rakyat, dapat hidup dalam suasana sejahtera dan ceria, menikmati pelbagai kemudahan dengan pembangunan yang lestari dan mapan,"ujar Sanusi. Jelasnya lagi, kesejahteraan hidup perlu dicapai dengan tafsiran yang betul sejajar dengan acuan yang telah ditetapkan oleh Islam. Tambahnya, peranan dalam memandu ke arah kesejahteraan pembangunan insan di negeri Kedah perlu dilaksanakan dengan sempurna termasuk memperkasakan nilai-nilai murni serta modal insan berilmu dan berakhlak mulia. "Kedah mempunyai tokoh-tokoh yang mampu diangkat sebagai pedoman dan rujukan dalam mensejahterakan rakyat," katanya. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #thegreaterkedah #ExperienceKedah -UPDA 9/8/2024, 4:32:39 PM
Post a Comment