KEDAH, SELANGOR METERAI MOU PEMBANGUNAN KORIDOR UTILITI
KEDAH, SELANGOR METERAI MOU PEMBANGUNAN KORIDOR UTILITI SHAH ALAM - Syarikat Utiliti Infra Darul Aman (UIDA) dan Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) memeterai satu memorandum persefahaman (MOU) bagi memperkukuh kemudahan infrastruktur dan utiliti. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerjasama strategik ini merupakan suatu inisiatif pelaksanaan pemindahan kepakaran bagi membentuk persekitaran koridor utiliti yang lebih mampan dan kondusif. "Kerajaan Negeri Kedah telah menubuhkan Agensi Penyelaras Koridor Utiliti Negeri Kedah melalui Syarikat Utiliti Infra Darul Aman (UIDA). "UIDA merupakan One Stop Agency (OSA) kepada pembangunan koridor utiliti yang turut menyediakan servis utiliti berkaitan Bekalan Air Bersih, Bekalan Tenaga Elektrik, Bekalan Gas dan Rawatan Air Terpakai," jelas Sanusi ketika berucap dalam Majlis Menandatangani MoU KUSEL-UIDA di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini. Katanya, usaha sama ini dijangka membuka ruang untuk Kedah meningkatkan kapasiti infrastruktur dan memperluaskan usaha pembangunan utiliti yang lebih mampan. Tambahnya, Kedah berhasrat untuk mencontohi KUSEL yang telah berjaya mengurus laluan kemudahan utiliti di Selangor. Jelasnya lagi, sokongan dasar kerajaan negeri dan pihak berkuasa seperti Pihak Berkuasa Tempatan serta Jabatan Kerja Raya penting bagi memastikan koridor utiliti yang lebih selamat dan teratur. "Saya yakin dengan kemahuan dan kesungguhan bersama dalam membawa perubahan akan memberikan manfaat yang besar pada kelestarian hidup kita. "Semoga sokongan padu dan usaha sama yang diberikan daripada kedua-dua pihak akan dibalas dengan sebesar-besar ganjaran oleh Allah SWT," ujar beliau. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UiDA #KUSel -UPDA 9/3/2024, 6:00:56 PM
Post a Comment