MASJID AL-WUSTHA SEABAD MENJADI TEMPAT IBADAH DAN PERPADUAN UMMAH
MASJID AL-WUSTHA SEABAD MENJADI TEMPAT IBADAH DAN PERPADUAN UMMAH GUAR CHEMPEDAK - Dalam tempoh 100 tahun, Masjid Al-Wustho telah memainkan peranan penting dalam menyebarkan ajaran Islam, membina komuniti yang harmoni serta menjadi sumber inspirasi setiap generasi. Menurut Pengerusi Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, YB Dato' Ustaz Mohd Azam Abd Samat, masjid itu dibina sebagai pusat ibadah dan perpaduan ummah. "Masjid ini bukan hanya sekadar bangunan, tetapi merupakan tempat suci yang telah menjadi pusat kegiatan spiritual dan sosial bagi masyarakat kita selama lebih satu abad. "Kita harus menghargai setiap detik dan usaha yang telah dicurahkan oleh generasi terdahulu untuk menjadikan masjid ini sebagai tempat yang bukan sahaja untuk solat, tetapi juga untuk memperkukuh ukhuwah dan perpaduan," ujarnya ketika merasmikan Karnival Mahabbah Rasul 1446H Kali Ke-7 dan Sempena Sambutan 100 Tahun Masjid Al-Wustha Guar Chempedak, di sini hari ini. Jelas beliau, sambutan 100 tahun itu bukan sahaja meraikan sejarah dan legasi masjid, tetapi juga merujuk kepada nilai-nilai mulia yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Tambahnya, Karnival Mahabbah Rasul itu adalah satu platform untuk merapatkan hubungan, berkongsi ilmu dan menyemarakkan semangat kecintaan kepada Rasulullah SAW. Katanya lagi, pelbagai aktiviti menarik telah disusun untuk semua peringkat umur termasuklah ceramah, bengkel dan pertandingan. "Aktiviti-aktiviti seperti Pameran Artifak Rasulullah SAW serta pengisian-pengisian daripada penceramah-penceramah terkenal dan tersohor dapat menarik minat masyarakat, bukan sahaja sekitar Guar Chempedak malah masyarakat di seluruh Kedah mahupun dari negeri lain, untuk sama-sama hadir dan mengimarahkan masjid ini. "Marilah sama-sama menjadikan masjid ini sebagai pusat kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya. Semoga kita terus berusaha untuk memelihara dan memajukan masjid ini agar dapat terus berkhidmat kepada umat dan masyarakat," ujar beliau. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 9/24/2024, 12:49:06 PM
Post a Comment