Header Ads

test

PENANTIAN 50 TAHUN BERAKHIR


KUALA NERANG – Sebanyak 462 hakmilik geran tanah diserahkan kepada penduduk kawasan Felcra Belimbing Tualak sekaligus menoktahkan penantian 50 tahun penduduk di kawasan itu.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri komited untuk memastikan isu pemilikan tanah dapat diselesaikan secara teratur dan mengikut prosedur.
“Dalam urusan pemberimilikan tanah ini, ia perlu melalui beberapa proses rumit yang melibatkan prosedur undang-undang.
“Proses ini telah termaktub dan perlu dipatuhi dalam Kanun Tanah Negara 1965 sebelum dipertimbangkan, diuruskan dan diluluskan oleh pihak Kerajaan,” ujar beliau.
Sanusi turut mengingatkan penerima geran tentang tanggungjawab mereka dalam menguruskan tanah termasuk kewajipan membayar cukai tanah mengikut tempoh yang ditetapkan.
Katanya, pelbagai inisiatif seperti sistem iBayaq dan kiosk bayaran di semua premis kerajaan negeri telah diperkenalkan bagi memudahkan pembayaran cukai tanah.
"Bayaran cukai yang ditetapkan turut dipertimbangkan dan dilihat berpatutan dengan hak pemilikan tanah.
“Pada tahun ini, kita berazam supaya tiada lagi tanah yang dilupuskan dan tiada tanah terbiar di mana-mana kawasan,” kata Sanusi sewaktu Majlis Penyerahan Geran Tanah Peringkat Padang Terap di Dewan Komuniti Felcra Belimbing Tualak, Kuala Nerang.

Tiada ulasan