Header Ads

test

SG4: KEDAH SEDIA BAWA GAGASAN BESAR BERSAMA


SG4: KEDAH SEDIA BAWA GAGASAN BESAR BERSAMA BANGI – Kedah bakal melancarkan gagasan baharu yang dinamakan 'The Greater Kedah' dalam usaha untuk memajukan negeri tersebut dan mengembalikan kegemilangan ekonomi. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor menggariskan gagasan besar itu dalam Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4). Beliau berkata bahawa sejak peralihan kuasa pada tahun 2020, Kedah telah berjaya menerima pelaburan asing berjumlah RM142 bilion. "Usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam tempoh tiga tahun ini tidak mungkin dicapai tanpa pasukan yang kukuh di peringkat kerajaan negeri," ujarnya. Kata beliau, Kedah memiliki lebih 40 hektar tanah yang boleh dimajukan dalam sektor lain tetapi kini dikhususkan untuk tanaman padi. Kerajaan negeri Kedah bersedia menawarkan kepada kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan tanah berkenaan sebagai tanah pengeluaran makanan negara dengan syarat peruntukan khas RM200 juta setahun diberikan kepada Kedah. Jelasnya, Kedah telah membuka peluang untuk menjalin kerjasama dengan Kementerian namun kerjasama itu terbatas disebabkan sentimen politik di peringkat Menteri. Kerjasama yang ditawarkan kepada kerajaan Persekutuan adalah kerjasama yang ikhlas tanpa sebarang syarat daripada kerajaan negeri Kedah. "Segala perancangan projek yang dirancang ketika ini adalah bertujuan untuk memajukan negeri Kedah, usaha yang dilakukan sama sekali tidak memberikan halangan mahupun cabaran terhadap negeri-negeri lain malah memberikan manfaat yang lebih besar kepada kerajaan Persekutuan. "Kerajaan negeri Kedah bersedia untuk berkongsi pengalaman dari sudut sektor perindustrian, pertanian mahupun galian mineral agar manfaat ini dapat dirasai oleh negeri-negeri yang terlibat di dalam SG4. "Semoga usaha sama yang dijalinkan oleh kerajaan negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis ini diberkati dan akan terus maju serta berjaya mengorak lebih jauh berbanding negeri-negeri lain," kata beliau. #sg4 #UrusSetiaPeneranganDarulAman #thegreaterkedah -UPDA 9/2/2024, 5:02:15 PM 

Tiada ulasan