1,000 WANITA TERIMA SUMBANGAN TABUNG USAHAWAN WANITA SEJAHTERA
1,000 WANITA TERIMA SUMBANGAN TABUNG USAHAWAN WANITA SEJAHTERA SERI MENTALOON - Seramai 1,000 orang usahawan wanita menerima sumbangan Tabung Usahawan Wanita Sejahtera Negeri Kedah Bagi Tahun 2024. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Negeri Kedah, YB Dato' Hajjah Halimaton Shaadiah Saad berkata, Tabung Usahawan Wanita Sejahtera Negeri Kedah adalah satu inisiatif kerajaan negeri untuk membantu menyediakan sedikit peruntukkan tunai kepada usahawan wanita yang berniaga secara kecil-kecilan. Jelas beliau, dengan sumbangan ini dapat dijadikan sebagai modal pusingan atau membeli peralatan bagi menambah pengeluaran dan jualan dan seterusnya menambah pendapatan perniagaan. "Saya yakin wanita negeri kedah, mempunyai potensi yang sangat besar untuk memberi sumbangan di dalam sektor ekonomi. "Walaupun melalui perniagaan secara kecil kecilan, tetapi ternyata pada hari ini sudah ramai usahawan wanita negeri kedah telah berjaya di dalam perniagaan mereka dan ada di antara mereka yang sudah menjadi terkenal melalui perniagaan masing-masing," ujarnya dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Usahawan Wanita Sejahtera Negeri Kedah Bagi Tahun 2024 di sini hari ini. Menurutnya, kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai latihan dan bimbingan untuk membantu para usahawan wanita Kedah dalam membina perniagaan yang kukuh dan berdaya tahan. Beliau turut menggalakkan para usahawan wanita mengambil peluang untuk menghadiri atau mengikuti program-program latihan yang disediakan untuk meningkatkan ilmu di dalam mengembangkan perniagaan. "Dengan adanya program-program seperti ini diharapkan lebih ramai wanita di Kedah akan dapat mengembangkan potensi mereka sebagai usahawan yang berjaya," katanya. #UPDA #UrusSetiaPeneranganDarulAman -UPDA 10/15/2024, 6:04:07 PM
Post a Comment